Isnin, 3 Mei 2010

bharian: Ulul Albab: Ketaksuban punca ummah dalam dilema

Oleh Abdurrahman Haqqi

(Sumber dari Berita Harian, 2010/05/02)

Hidup berpuak makin menguasai umat sehingga gagal bezakan kebenaran, kekufuran

SEMEMANGNYA menjadi satu dilema ketika agama kita menyuruh melakukan sesuatu perbuatan tetapi kita dilarang untuk melakukannya. Menjadi dilema apabila agama menggalakkan toleransi seluas-luasnya kemudian kita dihadapkan dengan kenyataan untuk menerima ketaksuban.

Jika kedua-dua dilema ini berlaku di negara bukan Islam, kita boleh memahaminya walaupun berasa terhina. Namun, jika kedua-dua dilema ini berlaku di negara Islam, kita sulit memahaminya dan berasa sugul atau dukacita.



Contoh pertama bagi permasalahan di atas ialah seperti dilaporkan agensi berita Perancis Agence France Press (AFP), Jumaat lalu. Dalam laporan itu diberitakan sekelompok pertubuhan wanita di Turki membuat aduan kepada pihak pendakwa untuk menyiasat isteri Presiden Turki, Hayrunnisa Gul dan isteri Perdana Menterinya, Emine Erdogan dengan dakwaan mereka melakukan jenayah.

Contoh kedua ialah berita awal minggu ini yang mendedahkan seorang pengarah cawangan jawatankuasa paling berpengaruh di Arab Saudi yakni Jawatankuasa Amar Makruf Nahi Mungkar di Kota Suci Makkah, Syaikh Ahmad al-Ghamidi hampir dipecat daripada jawatannya. Apakah kesalahannya?

Jenayah yang dilakukan oleh isteri pemimpin Turki itu kerana selalu memakai tudung pada acara rasmi di dalam atau di luar negara. Menurut kumpulan wanita berkenaan, perbuatan itu bertentangan undang-undang negara.

Sebab pengarah yang berpengaruh itu hampir dipecat kerana beliau berpendapat solat berjemaah di masjid adalah sunat. Oleh itu, tidak perlu paksaan menutup kedai pada waktu solat jemaah seperti amalan di Arab Saudi selama ini. Astaghfirullah!

Jika pendakwa di Turki menolak dakwaan kumpulan wanita itu dengan alasan ia tiada sebab untuk menyiasat kerana tiada percanggahan undang-undang menurut Kanun Keseksaan Turki, tetapi jawapan di Arab Saudi yang dikeluarkan al-Lajnah al-Daimah li al-Buhuth al-’Ilmiah wa al-Ifta, pihak berkuasa agama tertinggi yang turut mengeluarkan fatwa pada Khamis lalu bahawa solat berjemaah di masjid hukumnya adalah wajib. Ertinya orang yang tidak solat berjemaah di masjid melakukan dosa.

Kedua-dua dilema ummah di atas antara banyak contoh yang berlaku pada masa ini yang dihadapi umat Islam di seluruh dunia khasnya di negara Islam.

Contoh lain seperti poligami apabila ada negara melarangnya walaupun dibenarkan agama. Ada negara menggalakkan kemaksiatan padahal agama melarangnya. Ada negara yang secara terang memisahkan hubungan agama daripada politik sehingga agama hanya berada di masjid dan tempat khas, sedangkan politik bertapak kukuh di pejabat kerajaan.

Ada juga negara mendahulukan agama daripada politik sehingga pentadbiran kerajaan seolah-olah masjid dan pentadbiran masjid seolah-olah pejabat kerajaan. Natijahnya, umat dalam dilema makro. Penyebabnya adalah sama ada hawa nafsu mahupun ketaksuban.

Apabila kita melihat kepada tingkah laku umat Islam, ia lebih nampak dilemanya. Berkelompok, berpuak, berkumpulan dan bersendirian sudah menjadi fenomena kehidupan seharian.

Satu kelompok mengatakan haram, kelompok yang lain mengatakan halal. Satu puak mengatakan boleh, puak lain mengatakan tidak. Satu kumpulan mengatakan benar, kumpulan lain mengatakan salah. Seorang berkata lakukan, seorang lagi mengatakan jangan. Natijahnya, umat dalam dilema mikro. Penyebabnya adalah sama ada hawa nafsu mahupun ketaksuban.

Sengaja dibezakan antara ketaksuban dan hawa nafsu walaupun pada hakikatnya ketaksuban juga berpunca daripada pengaruh hawa nafsu kerana ketaksuban faktor paling menonjol dalam menzahirkan hawa nafsu di samping kejahilan. Umat Islam sebenarnya tidak jahil tetapi ketaksuban yang menutup ketidakjahilan mereka.



Satu punca ketaksuban adalah keegoan. Sedangkan ego adalah jati diri hawa nafsu itu sendiri seperti dijelaskan Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulumiddin, Jilid III ketika membahas masalah Rubu’ al-Muhlikat, (Bahagian Membinasakan) yang membincangkan sifat dan perbuatan yang membinasakan manusia.

Penyelesaian diberikan al-Ghazali dalam mengatasi dilema manusia adalah dengan Mujahadah al-Nafs, jihad melawan hawa nafsu yang kemudian dijelaskan oleh beliau dalam Jilid IV Rubu’al-Munjiyat, (Bahagian Penyelamat) yang membincangkan sifat dan perbuatan yang menyelamatkan manusia.

Dalam hadis Nabi SAW riwayat Abu Daud diberitakan bahawa Baginda sudah melihat keadaan sebenar umatnya pada akhir zaman iaitu walaupun mereka ramai tetapi tidak mempunyai kekuatan kerana mereka bak buih air laut dan puncanya ialah penyakit hati yang disebut al-wahn atau mencintai keduniaan dan takut mati.

Cinta dunia dengan jalan memelihara hawa nafsu dan ketaksuban jiwa. Penyelesaian mujahadah al-nafs yang diberikan al-Ghazali bertujuan untuk menyeimbangkan penyakit al-wahn ini agar kita boleh mengalahkan hawa nafsu kita dan mengawal ketaksubannya.

Ketika hawa nafsu menguasai masyarakat, maka masyarakat akan bergelumang dalam lautan kemaksiatan dan ketika ketaksuban mendominasi, masyarakat akan tenggelam dalam perbalahan serta permusuhan.

Dalam kedua-dua keadaan ini, umat Islam jugalah yang rugi dan tetap terpinggir dalam percaturan perlumbaan membangun ketamadunan masyarakat antarabangsa hari ini.

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...