Isnin, 3 Mei 2010

bharian: Islam amat menitikberatkan budaya kerja cemerlang dalam organisasi

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

(Sumber dari Berita Harian, 2010/05/01)

PADA 1 Mei setiap tahun, semua kakitangan awam, swasta dan persendirian menyambut Hari Pekerja. Selain mendapat satu hari cuti istimewa, objektif sambutan Hari Pekerja adalah untuk memberi peluang kepada semua pekerja bagi bermuhasabah diri sendiri berkaitan tuntutan tanggungjawab dan amanah mereka kepada kerjaya masing-masing.

Islam begitu menitikberatkan etika kerja cemerlang. Etika kerja cemerlang sebenarnya bukanlah milik atau hak seseorang individu atau mana-mana kelompok masyarakat, sebaliknya ia meliputi keseluruhan pegawai dan kakitangan kerajaan dalam sesebuah organisasi itu.



Kesan daripada etika atau budaya kerja cemerlang ini akan menjadi sesebuah organisasi itu maju dan berjaya kerana mempunyai pegawai dan kakitangan berkeupayaan tinggi. Mereka berkhidmat dengan penuh dedikasi, patuh kepada setiap arahan atau peraturan ditentukan pihak pengurusan dari semasa ke semasa.

Budaya kerja cemerlang sebenarnya adalah hak setiap individu di dalam setiap organisasi, bermula daripada peringkat atasan hinggalah di peringkat bawahan seperti buruh, tukang kebun, pelayan pejabat dan jawatan seumpamanya. Apabila budaya kerja cemerlang ini dapat diserapkan ke dalam minda setiap pegawai dan kakitangan kerajaan itu, maka hasilnya akan tinggilah kualiti dan kuantiti kerja setiap individu itu dan seterusnya peningkatan produktiviti.

Apabila setiap orang pegawai dan kakitangan itu dapat menunjukkan tahap kecemerlangan dalam bidang kerjayanya masing-masing, maka hasilnya akan bertambah majulah negara dan rakyatnya pula akan dapat menikmati taraf hidup yang lebih baik dan sempurna.

Islam sebagai agama yang syumul, begitu menggalakkan setiap umatnya supaya bekerja keras dan berusaha meningkatkan taraf hidup agar bebas daripada belenggu kemiskinan kerana kemiskinan adalah musuh bagi setiap manusia.

Dengan kata lain, apabila budaya kerja cemerlang itu ada pada setiap diri individu, sudah pasti ia akan mendapat keuntungan, bukan saja selama hidup di dalam dunia ini, malah juga di akhirat nanti kerana setiap apa juga yang kita kerjakan dapat memberikan sumbangan kepada setiap orang, termasuk diri, keluarga, bangsa dan seterusnya negara, dikira sebagai satu amalan atau ibadah yang dituntut oleh Islam.

Apa juga yang kita buat atau lakukan, ia hendaklah disertai dengan niat sama juga seperti kita menunaikan sembahyang fardu lima waktu sehari semalam. Tanpa niat, sudah pasti amalan kita tidak akan diterima. Demikian juga dalam mencari kerja atau mencari rezeki, tentu ada matlamat dan disertai dengan niatnya sekali.

Tujuan kita bekerja sebenarnya adalah untuk menyara diri sendiri, keluarga dan seterusnya memberi sumbangan bakti kepada agama, bangsa dan negara. Justeru, setiap pekerjaan yang kita lakukan, termasuk makan gaji sama ada dengan pihak kerajaan atau swasta hendaklah seimbang.



Jika kita mendapat gaji penuh, maka waktu bekerja pula hendaklah cukup atau menepati waktunya kerana jika kita bekerja sambil lewa atau sering ponteng daripada menjalankan tugas dan kewajipan kita sudah pasti ia akan ditanya Allah di akhirat nanti.

Sesungguhnya sikap malas dan kurang bersemangat untuk memajukan diri, terlalu mementingkan diri sendiri dan rapuh dengan pegangan agama sudah pasti akan membantutkan usaha melahirkan generasi pekerja yang cemerlang dan terbilang.

Dalam hubungan ini Allah Taala berfirman dalam Surah Al-Asr ayat 3 bermaksud: “Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal salih dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menepati kebenaran.”

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...