Isnin, 3 Mei 2010

bharian: Pengurusan masa pastikan tugas dilaksana berkualiti

Oleh Prof Madya Dr Ahmad Redzuwan Mohd Yunus

(sumber dari Berita Harian, 2010/05/01)

Pekerja perlu tunai tanggungjawab diamanah dalam waktu ditetapkan dengan penuh dedikasi

SEPERTI yang kita ketahui, masa begitu penting dalam kehidupan manusia, sehinggakan masa itu diumpamakan seperti emas kerana ketinggian nilainya dari sudut manfaat dan faedahnya kepada kita. Oleh itu, tidak hairanlah jika sifat menghargai masa ini turut terkandung di dalam etika kerja Islam yang patut dilaksanakan oleh setiap pekerja dalam pekerjaan mereka.



Ia perlu dihayati dan dipraktikkan untuk memastikan hasil pekerjaan itu berkualiti dan terbaik. Selain itu, sifat ini juga menjadi amalan dan pegangan orang yang berjaya dalam kehidupan mereka. Rasulullah SAW adalah orang yang sangat menghargai masa sama ada dalam soal beribadat atau dalam pekerjaan.

Sewajarnyalah kita menjadikan Rasulullah sebagai contoh ikutan terbaik dalam menguruskan masa kita. Antara sebab mengapa kakitangan perlu menghargai masa dalam melaksanakan kerja mereka ialah:

Kepentingan masa itu sendiri

Selaku pekerja dan kakitangan dalam sesebuah organisasi adalah penting bagi seseorang itu menghargai setiap masa diperuntukkan kepada mereka untuk melaksanakan tugas dipertanggungjawabkan. Masa perlu dihargai kerana jika tidak ia akan berlalu dengan sia-sia tanpa sebarang manfaat dan kebaikan kepada kita. Oleh itu, penting bagi pekerja untuk mengatur segala aktiviti kerjanya supaya ia berjalan seiring dengan masa diperuntukkan.

Ketepatan masa adalah satu nilai yang ditekankan dalam semua perkhidmatan
Hal ini dapat melahirkan impak berkesan kepada pekerja kerana mereka melaksanakan tugasnya dengan dedikasi dan tekun. Setiap pekerja perlu memastikan semua tugas dapat diselesaikan dengan sempurna dan mereka menggunakan masa yang ada bagi menjalankan tugas diamanahkan.

Sikap membuang masa tidak baik diamalkan di kalangan pekerja. Oleh itu, setiap pekerja mestilah bijaksana dalam menggunakan masa. Pengurusan masa mesti dirancang dengan betul. Dengan ini, masa dapat digunakan dengan sebaik mungkin.

Ini dapat dilakukan dengan meletakkan sasaran tertentu untuk dicapai dalam masa kerja ditetapkan. Pengurusan masa adalah proses yang tidak pernah berhenti, ia secara berterusan perlukan penilaian dan perubahan sebagaimana berubahnya tugas seseorang.

Pekerja dibayar mengikut waktu bekerja

Selain itu, pekerja harus ingat bahawa setiap masa atau waktu yang kita lalui ketika dalam tempoh bekerja dibayar mengikut masa kerja diperuntukkan. Tidak pernahkah kita terfikir bagaimana status gaji yang kita peroleh seandainya kebanyakan masa bekerja kita dipenuhi dengan aktiviti yang tidak berfaedah dan di luar bidang tugas kita.

Adakah wajar duit gaji itu diterima tanpa melakukan tugas sepatutnya. Oleh itu, tepatilah masa bekerja dan laksanakanlah tugas dengan sebaiknya serta pastikan hasil yang diterima adalah bahagian dan wang yang sememangnya patut kita peroleh.

Sebenarnya banyak cara yang boleh kita lakukan untuk memastikan kita betul-betul menghargai masa. Antaranya ialah:

Membuat rencana waktu

Sebagai seorang pekerja yang berdedikasi, penting bagi dirinya untuk membuat perencanaan waktu. Tidak kira bagaimana sibuknya, sebaiknya anda harus selalu mengambil waktu untuk membuat rencana. Semakin sedikit waktu terluang yang anda miliki, semakin penting pula untuk merencanakan penggunaan waktu secara teliti.

Contohnya, gunakan 10 minit pada awal dan akhir waktu setiap hari untuk membuat perencanaan. Hal ini pasti akan membayar kembali jerih payah anda dengan keuntungan berlipat kali ganda hasil daripada perencanaan betul dan tepat.

Menggunakan masa dengan sebaiknya

Kakitangan atau pekerja juga disarankan untuk menggunakan masa dengan sebaik-baiknya supaya masa bekerja kita diisi sepenuhnya dengan tugasan yang perlu kita laksanakan dalam tempoh waktu bekerja. Ia bukanlah bermaksud pekerja mesti bekerja tanpa henti tetapi mereka perlu memanfaatkan masa yang ada di samping waktu solat, waktu makan atau rehat.

Kadang-kala ada sesetengah pekerja yang mengambil masa rehat terlalu lama hingga melebihi had waktu ditetapkan. Contohnya waktu rehat diberikan sekitar satu jam tetapi ada juga yang mengambil masa sehingga dua atau tiga jam. Ini nyata menyalahi etika penggunaan masa yang betul dan boleh dikenakan tindakan disiplin sekiranya dilakukan berulang kali atau disengajakan.

Tidak membuang masa dengan aktiviti tidak berfaedah

Dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai seorang pekerja, kita perlu menjauhkan diri daripada perkara tidak berfaedah atau yang membuang masa kita. Sebagai contoh, kita banyak menghabiskan masa dengan hanya berbual kosong tanpa mempunyai sebarang kepentingan daripada perbualan itu.



Selain itu, ada juga sesetengah pekerja menyibuk diri dengan bermain permainan komputer berbanding dengan masa membuat kerja atau suka duduk di kedai kopi atau kantin dalam tempoh yang agak panjang.


Penulis ialah Pensyarah di Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, UKM

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...