Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, berkata terdapat beberapa perkara yang perlu dibaiki membabitkan isu tempatan yang akan memberi lebih banyak tekanan kepada rakyat di dua negeri berkenaan.
Katanya, isu seperti masalah pendatang asing di Sabah dan pertikaian ke atas hakmilik tanah hak adat (NCR) di Sarawak memerlukan jalan penyelesaian segera bagi memastikan setiap bidang di bawah NKRA dapat diterjemahkan kepada rakyat.
"Bagi tujuan menambahbaik dan memperbaiki NKRA, kita sedang mencari penyelesaian bagi mengatasi dua masalah utama yang berlaku di dua negeri berkenaan selain cuba mendapatkan kaedah terbaik menangani isu tempatan yang lain.
"Antara isu yang dibangkitkan ialah masalah pendatang asing yang dikemukakan kerajaan Negeri Sabah selain pertikaian tanah NCR di Sarawak dengan masing-masing memerlukan jalan penyelesaian pantas," katanya ketika sidang media selepas menghadiri sesi Makmal Pembangunan Bumiputera Sabah dan Sarawak mengikut NKRA, di sini, semalam.
Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Joseph Entulu Belaun dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Osu Murang.
Pada sesi makmal berkenaan, antara isu yang dibangkitkan adalah berkaitan masalah pendidikan, pembangunan ekonomi, infrastruktur, pembangunan sosial serta isu berkaitan tanah NCR.
Idris berkata, isu pertikaian hakmilik tanah NCR perlu diselesaikan kerajaan kerana pemilik tanah mewarisi tanah berkenaan tanpa memiliki dokumen sah bagi dikemukakan sebagai bukti.
“Mereka (pemilik tanah) sendiri tidak tahu berapa keluasan sebenar tanah NCR yang dimiliki kerana tiada dokumen mengenainya selain terdapat juga kes tanah bertindan apabila kerajaan Negeri Sarawak turut menuntut hak milik tanah,” katanya.
(Sumber dari Berita Harian, 09/02/2010)
Label:
Malaysiaku
0 ulasan:
Catat Ulasan