Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata kerajaan dari semasa ke semasa mengetatkan dasar, syarat dan prosedur pengambilan pekerja asing.
Beliau berkata, ruang untuk pekerja asing baru tidak boleh terus dibuka jika mereka yang tamat tempoh kontrak masih belum meninggalkan negara ini.
Pada masa sama, katanya, usaha mengurangkan pekerja asing di negara ini juga menghadapi keadaan yang mana tenaga asing yang dikurangkan itu diganti dengan pekerja haram oleh majikan.
"Ini diburukkan lagi dengan sikap segelintir majikan yang ingin mengaut keuntungan berlipat ganda dengan sengaja mengambil pendatang asing tanpa izin (Pati) sebagai pekerja tanpa mengambil kira kesan negatif yang akan timbul kepada anggota masyarakat dan negara secara keseluruhannya," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Bagaimanapun, katanya, kementerian sedang menggerakkan strategi untuk turut membabitkan majikan sebagai pihak yang berkepentingan untuk bersama-sama menangani masalah Pati di negara ini.
Beliau berkata, Persatuan Pengusaha Restoran Muslim SeMalaysia (Presma) didapati sudah mula bergerak ke beberapa negeri untuk mendapatkan komitmen ahlinya supaya berhenti daripada mengambil pekerja asing secara haram.
“Gabungan Persatuan Pengusaha Cina dan India yang datang berjumpa saya pada Jumaat lalu pula memutuskan untuk mengadakan mesyuarat agung khas bagi memanggil semua ahli gabungan bekerjasama membendung kebanjiran warga asing,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam mengenai 100,000 pekerja asing diambil sebelum ini, adalah membabitkan tempoh sepanjang Oktober hingga Disember tahun lalu susulan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin dan mesyuarat Kabinet.
(Sumber dari Berita Harian, 09/02/2010)
Label:
Malaysiaku
0 ulasan:
Catat Ulasan