Khamis, 11 Februari 2010

MEB boleh jadi pengukur kejayaan negara

MODEL Ekonomi Baru (MEB) yang akan dilancarkan kerajaan akhir bulan depan adalah satu transformasi ekonomi yang dirangka sejajar matlamat Malaysia untuk mencapai status negara maju menjelang 2020.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata berbeza dengan model ekonomi sebelumnya, MEB yang menitikberatkan pembangunan modal insan dalam memacu ekonomi, lebih menekankan kepada penggunaan teknologi dan peningkatan produktiviti sebagai kayu pengukur kejayaan.

Katanya, sejak mencapai kemerdekaan, Malaysia mencipta banyak kejayaan termasuk mengubah keadaan daripada sebuah negara miskin yang bergantung kepada getah dan timah kepada ekonomi industri baru yang pelbagai.

"Namun, kita tidak lagi boleh bergantung kepada resipi kejayaan lalu itu untuk menjamin kejayaan mencapai status negara maju.

"Bagi memastikan status negara maju itu tercapai, model ekonomi kita perlu beralih ke arah menjadi negara berintensifkan pengetahuan dan dipacu inovasi," katanya selepas menyampaikan ucapan pada hari kedua Persidangan Ekonomi 1Malaysia - Model Ekonomi Baru 1Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam.

Persidangan dua hari itu dianjurkan Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM).

MEB dan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) serta RMK-11 adalah antara komponen utama bagi mencapai Wawasan 2020 yang bermatlamat meletakkan Malaysia pada peta dunia sebagai negara maju.

Nor Mohamed menjelaskan, Malaysia perlu melaksanakan transformasi utama dalam ekonomi, walaupun ia akan membabitkan kos jangka pendek atau menghadapi gangguan serta kesukaran pada peringkat awal.

Katanya, pendekatan ekonomi lama yang lebih berteraskan tenaga buruh dan kos murah tidak sesuai lagi diamalkan di negara ini susulan perubahan struktur sosio ekonomi serta persaingan daripada negara lain yang memiliki ramai tenaga buruh ramai serta kos lebih murah.

"Jika transformasi tidak dilakukan, Malaysia berdepan situasi sukar untuk mencapai status negara maju dan mungkin tersekat di tengah-tengah, iaitu sebagai negara berpendapatan sederhana, sekalipun ia (Malaysia) berpendapatan pertengahan tinggi," katanya.

Nor Mohamed berkata, usaha untuk menyesuaikan model ekonomi negara memerlukan pelaburan dan usaha gigih yang mungkin tidak mendapat hasil serta-merta, namun memberi pulangan yang baik dalam jangka panjang.

"Dalam melaksanakan transformasi ekonomi, kita memerlukan komitmen untuk menjayakannya di peringkat awal dan terus kekal untuk kemajuan jangka panjang," katanya.

(Sumber dari Berita Harian, 10/02/2010)

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...