Khamis, 11 Februari 2010

30% projek NKRA siap tahun ini

Oleh HELMI MOHD. FOAD
pengarang@utusan.com.my


PUTRAJAYA 8 Feb. – Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah akan menyiapkan 30 peratus daripada keseluruhan sasaran projek di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi infrastruktur asas luar bandar menjelang hujung tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, projek itu membabitkan pembinaan jalan luar bandar, rumah panjang, bekalan elektrik dan air termasuk di Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, kementerian beliau yakin dapat mencapai sasaran itu apabila menerima peruntukan tambahan RM982 juta daripada Kementerian Kewangan bagi tahun ini.

Malah katanya, sebahagian NKRA dapat dilihat hasilnya menjelang April ini iaitu pembinaan jalan raya sejauh 257 kilometer membabitkan 19 projek di Semenanjung, Sabah (15) dan dua di Sarawak.

‘‘Kita memperkenalkan pendekatan baru bagi memantau semua projek tersebut bagi memastikan ia dapat dilakukan dengan cepat tanpa mengetepikan soal mutu.

‘‘Beberapa negeri telah menunjukkan semangat dan kerjasama yang baik terutama di Sabah dan Sarawak bagi meningkatkan pembangunan jalan, bekalan elektrik dan rumah-rumah untuk orang miskin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat NKRA bagi kementeriannya di sini hari ini.

Hadir sama timbalannya, Datuk Hassan Malek; Timbalan Ketua Menteri Sarawak,Tan Sri Alfred Jabu dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Ebin.

Menurut Mohd. Shafie, sebanyak 87 buah rumah panjang di Nanga Tada, Nanga Ngungun, Nanga Jangau dan Nanga Skuau, Sarawak juga akan siap dibaik pulih pada April ini.

Tambahnya, sebanyak 667 projek bekalan elektrik juga akan disiapkan April ini manakala di Sabah dan Sarawak pada November ini dengan sasaran 24,967 buah rumah akan disambung bekalan elektrik pada hujung tahun ini.

Beliau berkata, menjelang hujung tahun ini, jalan raya sejauh 752 kilometer dijangka dapat disiapkan selain 70,181 buah rumah bakal menikmati bekalan air bersih.

‘‘Ini berikutan projek loji rawatan air di Sukau, Sabah akan siap pada Mei ini dengan setakat ini 13 projek loji rawatan air sedang dalam pembinaan,” katanya.

‘‘Kita ucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana dengan peruntukan tambahan RM401 juta, kita boleh siapkan 16,000 buah rumah pada hujung tahun ini berbanding sasaran asal 1,650 buah,” katanya.

(Sumber dari Utusan Malaysia, 09/02/2010)

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...