Khamis, 11 Februari 2010

Ketandusan rumah mampu milik dikurangkan dalam RMK-10

KOTA BHARU 8 Feb. - Masalah ketandusan projek perumahan mampu milik yang banyak meresahkan golongan berpendapatan sederhana dan miskin terutama di bandar ini dijangka dapat dikurangkan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Mereka bakal menikmati kemudahan itu yang begitu lama dinantikan melalui peruntukan sebanyak RM200 juta dalam RMK-10 yang akan diumumkan kerajaan tidak lama lagi.

Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Datuk Mohd. Fatmi Che Salleh berkata, wang berkenaan akan digunakan untuk membangunkan projek perumahan rakyat (PPR) sebagai hadiah kepada rakyat miskin dan golongan sederhana.

Katanya, permohonan untuk peruntukan berkenaan telah disampaikan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dalam pertemuan baru-baru ini.

"Ini adalah sebagai menjayakan konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baru Cina di sini hari ini.

Pada majlis berkenaan, Mohd. Fatmi menyerahkan angpau sebanyak RM100,000 kepada 1,000 warga emas yang hadir.

Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pemimpin utama itu telah dimaklumkan mengenai hasrat berkenaan.

Katanya, lebih 50 peratus penduduk di bandar ini tinggal di rumah sewa kerana tidak mempunyai kemampuan untuk membeli aset berkenaan.

Jelasnya, kerajaan negeri pimpinan Pas Kelantan gagal menyediakan prasarana yang cukup, malah kebanyakan tanah yang sesuai untuk dimajukan sebagai PPR telah dijual kepada syarikat swasta atau dibiarkan begitu sahaja.

"Apa yang kerajaan negeri bagi kepada penduduk yang memerlukan tidak cukup. Rakyat tidak mempunyai rumah kerana tidak ada projek perumahan yang dibuat," ujarnya.

Tambah beliau, penjelasan telah diberikan kepada Nor Mohamed secara terperinci berhubung jumlah peruntukan tinggi yang diminta itu.

"Beliau (Nor Mohamed) tanya kenapa banyak sangat. Saya kata kepadanya sebab kos tanah di Kota Bharu sangat tinggi sebab itulah rakyat tidak mampu memiliki rumah sendiri.

"Oleh itu, kita akan buat bancian untuk mengetahui berapa jumlah rakyat yang memerlukan dan kalau diluluskan semua akan memiliki rumah sendiri," tambahnya.

(Sumber dari Utusan Malaysia, 09/02/2010)

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...