Khamis, 11 Februari 2010

Tiga komponen penting jayakan misi besar kerajaan

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 8 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menggariskan tiga komponen penting bagi menjayakan tiga misi besar kerajaan iaitu Model Ekonomi Baru, Rancangan Malaysia ke 10 (RMK-10) dan Wawasan 2020.

Perdana Menteri berkata, tiga komponen tersebut adalah modal insan, modal swasta serta modal sosial.

Tanpa peranan ketiga-tiganya beliau berkata, sudah pasti setiap misi besar yang telah ditetapkan oleh kerajaan demi pembangunan rakyat dan negara itu tidak akan tercapai.

''Sememangnya tiga komponen ini amat penting dan utama. Oleh itu jangan sesekali kita abaikan kepentingannya.

''Ingin saya tekan di sini bahawa Model Ekonomi Baru dan RMK-10 adalah landasan terakhir untuk kita mencapai Wawasan 2020 dan tiga komponen inilah yang akan menjadi pemangkin ke arah kejayaan kesemua misi kerajaan ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Ekonomi 1Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Seminar yang dianjurkan oleh Persatuan Dewan Perdagangan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) itu turut dihadiri oleh Presidennya, Tan Sri William Cheng.

Ketika memberi gambaran lebih jelas mengenai ketiga-tiga komponen itu Najib berkata, modal insan merupakan elemen terpenting dalam usaha kerajaan memacu ekonomi negara.

''Dalam konteks modal insan kita amat memerlukan kumpulan tenaga kerja yang lebih holistik dan komprehensif. Maksud saya kita bukan sahaja mahu pekerja yang berpengetahuan malah turut mempunyai kemahiran yang tinggi.

''Saya faham untuk meningkatkan kemahiran pekerja ia memerlukan nilai pelaburan tetapi ini sebenarnya satu usaha yang mampu memberi pulangan yang baik kepada organisasi, syarikat dan seterusnya negara,'' katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa hasil gabungan pekerja yang berpengetahuan dan berkemahiran akhirnya boleh melahirkan pekerja yang inovatif.

''Inilah hasrat dan impian kerajaan. Kita benar-benar mahu melihat pekerja kita kreatif dan berinovatif. Melalui sumbangan mereka ekonomi negara boleh dipacu dengan lebih hebat lagi,'' katanya.

Berhubung modal swasta pula Najib berkata, peranannya sebagai salah satu penyumbang ke arah kemajuan negara tidak boleh dipertikaikan kerana melaluinya kerajaan serta rakyat akan mendapat pelbagai faedah.

Sehubungan itu beliau berkata, kerajaan kini dalam proses mengkaji polisi serta prosedur bagi memudahkan pelaburan dibuat.

(Sumber dari Utusan Malaysia, 09/02/2010)

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...