Khamis, 11 Februari 2010

Mindcet anjur forum bina pemikiran kreatif, inovatif

Oleh Shaarani Ismail
shaarani@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Pusat Minda Besut (Mindcet) akan menganjurkan Forum Inovatif dan Pemikiran Kreatif Malaysia atau lebih dikenali sebagai (Mindcreate 2010) yang pertama seumpamanya dan mensasarkan penyertaan lebih 200 peserta membabitkan individu dari sektor korporat, pegawai kerajaan dan ahli akademik.

Forum itu akan dijalankan melalui pendekatan yang sedikit berbeza daripada mana-mana forum yang pernah dianjurkan kerana ia adalah bersifat interaktif dan memerlukan penyertaan daripada peserta untuk berkongsi idea.

Pengerusi Mindcet, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata penganjuran Mindcreate itu akan memfokuskan peranan teknologi pemikiran kreatif dan inovasi dalam pembangunan intelektual sebuah organisasi.

“Beberapa tokoh besar dalam industri dan korporat yang sudah berjaya melakukan pelbagai transformasi dalam organisasi mereka akan berkongsi pengalaman dan idea serta kepakaran mereka.

“Forum ini akan berlangsung mengikut format bual bicara iaitu lebih bersifat interaktif serta mengalu-alukan penyertaan dan maklum balas daripada peserta sepanjang program berlangsung,” katanya pada sidang media mengenai penganjuran forum itu di sini semalam.

Idris berkata, mana-mana peserta atau individu berminat untuk mengemukakan soalan berkaitan forum ini dengan lebih awal juga boleh melakukannya dengan menghantarnya melalui alamat emel di mindcreat2010@gmail.com atau melalui laman blog, www.mindcreate.blogspot.com.

Katanya, antara tokoh yang akan berkongsi idea dan pengalaman dalam program itu adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala; pemegang rekod Ingatan Asia, Lim Teck Hoe; Ketua Pegawai Eksekutif Skali.net, Tengku Farith Rithauddeen; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Mimos Bhd, Datuk Abdul Wahab Abdullah serta Ketua Pegawai Eksekutif MOL Access Portal Bhd, Ganesh Kumar Bangah.

“Forum akan diadakan selama dua hari bermula 9 Mac ini di Hotel Prince, Kuala Lumpur akan dibahagikan kepada empat perbincangan utama iaitu Inovasi Minda, Inovasi Pemikiran, Inovasi Pemasaran dan Inovasi Perniagaan.

“Perasmian dan ucaptama akan disempurnakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili, manakala Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir akan menutup forum itu,” katanya.

Katanya, yuran penyertaan dikenakan sebanyak RM1,900 seorang dan segala kutipan dan dana yang terkumpul melalui penganjuran itu akan disalurkan untuk tujuan pembangunan dan operasi Pusat Minda Besut.

(sumber dari Berita Harian, 09/02/2010)

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...