Rabu, 9 Januari 2013

Persoalan Agama: Muliakan kedua ibu bapa

2012/12/09 - 05:17:49 AM Zahazan Mohamed

Latih anak laksana hak terhadap orang tua dari awal

Soalan:
Saya melihat ramai anak muda tidak menghormati ibu bapa mereka. Ada bermacam-macam berita mengenai anak derhaka boleh dibaca di akhbar sehinggakan ada yang sanggup membunuh orang tua mereka. Bagaimanakah semua ini boleh terjadi. Adakah berpunca daripada salah didikan ibu bapa? Apakah adab yang sepatutnya diajar kepada anak-anak zaman sekarang agar mereka hormat kepada kedua-dua ibu bapa mereka?

Kamaruzzaman,
Balakong, Selangor.

Jawapan:

Anak-anak hendaklah diajar etika bergaul dengan ibu dan bapa dari peringkat awal. Contohnya, tidak berjalan di depan mereka, tidak memanggil dengan nama mereka, tidak duduk di hadapan mereka, tidak membangkang nasihat mereka, tidak duduk tempat yang lebih tinggi dari tempat mereka dan tidak menyalahi perintah mereka.
Dalam satu riwayat, Aisyah pernah bercerita. Seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW dengan membawa seorang tua. Baginda bertanya kepadanya: “Hai lelaki, siapakah yang bersamamu?”Lelaki itu menjawab: “Ayahku.” Baginda bersabda: “Jangan engkau berjalan di hadapannya, jangan panggil ia dengan namanya dan jangan engkau samakan dia dalam sesuatu.”

Derhaka menentang ibu bapa

Anak akan disebut derhaka sekiranya dia menentang dan tidak melaksanakan hak-hak kedua-dua ibu bapanya. Antaranya, pertama iaitu si anak memandang dengan tajam kepada ayahnya ketika marah. Kedua, anak memandang dirinya sama dengan ayahnya. Ketiga, anak mengagungkan dirinya tanpa mencium tangan kedua-dua orang tuanya atau tidak menghormatinya. Keempat, anak menipu dirinya sehingga dia malu untuk dikenal dengan nama ayahnya, apatah lagi sekiranya dia berjawatan tinggi. Kelima, anak tidak melaksanakan hak dengan tidak memberi nafkah kepada kedua-dua orang tuanya yang fakir sehinggakan kedua-duanya terpaksa mengadukan perkara itu kepada hakim agar anaknya tetap berkewajipan memberikan nafkah kepada mereka. Keenam yang paling besar ialah anak yang mengatakan “ah” (membentak) kedua-dua orang tuanya, berasa muak kepada mereka berdua, menyombong diri, menegur kedua-duanya dengan kata-kata yang menyakitkan hati, melukai dan menghina peribadi mereka berdua.

Kalau kita hendak senaraikan adab anak kepada ibu bapanya ada banyak. Namun saya hendak menyebut beberapa adab yang dipetik daripada kitab Tarbiyatul Aulad.

Pelihara maruah orang tua

  1. Pertama, mentaati perintah ibu dan ayahnya kecuali dalam perkara yang sifatnya maksiat.
  2. Kedua, bercakap kepada ibu bapa dengan penuh kelembutan dan kesopanan.
  3. Ketiga, sekiranya ada kesempatan, hendaklah cium tangan ibu bapa.
  4. Keempat, memelihara nama baik, maruah dan harta mereka.
  5. Kelima, memuliakan kedua-duanya dan memberi apa yang mereka pinta.
  6. Keenam, banyak berdoa dan memohon ampun untuk mereka berdua.
  7. Ketujuh, apabila tetamu datang ke rumah, anak hendaklah memerhatikan pandangan ibu bapa kerana mungkin mereka hendak memerintahkan sesuatu.
  8. Kelapan, melakukan perbuatan yang ibu bapa senang tanpa diperintah oleh mereka.
  9. Kesembilan, jangan memotong percakapan ibu atau bapa ketika mereka bercakap.
  10. Kesepuluh, jangan keluar rumah sebelum mereka memberi izin.
  11. Ke-11, segera menyahut panggilan mereka.
  12. Ke-12, jangan mencela apabila mereka melakukan pekerjaan yang tidak disenangi.
  13. Ke-13, jangan menjulurkan kaki di depan mereka.
  14. Ke-14, jangan lebih mengutamakan isteri dan anak daripada mereka.
  15. Ke-15, menghormati kawan-kawan mereka ketika mereka hidup dan setelah kematian mereka.

Demikianlah antara adab yang dapat disebut di sini. Sekiranya dilatih dengan adab ini, Insya-Allah anak-anak akan membesar dalam keadaan berakhlak mulia dan bermaruah.

(Sumber: Berita Harian)

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...