2012/12/12 - 05:16:34 AM Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
Kawal pengaruh luar daripada menggugat ketenangan hati ketika solat
Solat tidak akan berkesan tanpa khusyuk. Mengikut Imam Al-Hakim dan Tirmizi, pada suatu ketika Rasulullah SAW ternampak seorang lelaki menyapu janggutnya ketika solat maka Baginda bersabda: “Jika khusyuk hati lelaki ini, akan tenanglah anggota badannya.”
Berkata Imam Al-Alusi, khusyuk ialah merendahkan diri dengan perasaan takut di samping tenang anggota badan. Ibn Jarir meriwayatkan, sahabat Nabi SAW, Abdullah ibn Abbas berkata: “Mereka yang khusyuk ialah mereka yang takut lagi tenang.”
"Apabila datang makanan malam dan iqamah untuk solat sudah dilaungkan, mulailah dengan mengambil makanan malam terlebih dulu” hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim
Hasil kesan positif
Khusyuk dalam solat penting tetapi khusyuk juga perlu diamalkan dalam semua ibadah yang dilakukan supaya menghasilkan kesan yang positif. Di akhir zaman khusyuk akan lenyap daripada hati-hati manusia digantikan dengan kealpaan dan kelalaian.
Mengikut Imam Al-Hakim, sahabat Nabi SAW, Ubadah bin Samit berkata: “Tidak berapa lama lagi akan sampai satu zaman apabila kamu memasuki masjid kamu tidak akan menemui lagi lelaki yang khusyuk.”
Ibn Abi Syaibah, Ahmad dan Al-Hakim meriwayatkan, Huzaifah bin Yaman berkata: “Perkara pertama yang akan luput daripada agamamu ialah khusyuk dan akhirnya yang akan luput darimu ialah solat. Ikatan Islam akan terungkai satu demi satu.”
Asas kepada khusyuk ialah kebersihan hati. Justeru, untuk khusyuk penekanan perlu diberikan kepada ibadah hati tanpa mengabaikan rukun-rukun yang berkaitan dengan anggota badan.
Unsur-unsur ibadah hati yang ditekankan ada enam. Mengikut Imam Al-Ghazali dalam kitabnya, Ihya Ulumuddin: “Kehadiran hati, pemahaman, pengagungan, merasai kehebatan, harap dan malu.”
Kehadiran hati bermaksud, hati tidak menerawang memikirkan perkara lain daripada solat. Pemahaman bermaksud, memahami segala perkataan yang dilafazkan dalam solat. Pengagungan dan merasai kehebatan bermaksud berasa takut terhadap Allah hasil daripada kefahaman berhubung keagungan serta kebesaran Ilahi.
Harap bermaksud mengharapkan pahala daripada Allah kerana Dialah saja tempat pergantungan bagi manusia. Malu bermaksud berasa malu dengan ibadah yang dilakukan kerana pastinya terdapat kekurangan padanya.
Pengaruh luar perlu dikawal
Untuk membantu hati khusyuk, beberapa pengaruh luaran perlu dikawal dan dijaga. Antaranya, jika seseorang berasa lapar hendaklah beliau menjamah makanan terlebih dulu. Demikian jugalah kiasannya dengan membuang air besar, kecil dan yang seumpamanya.
Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim: “Apabila datang makanan malam dan iqamah untuk solat sudah dilaungkan, mulailah dengan mengambil makanan malam terlebih dulu.”
Imam Al-Ghazali, dalam kitab Ihya Ulumuddin, bab Rahsia Solat Dan Kepentingannya, menyatakan pengaruh luar adalah sesuatu yang boleh memberi kesan kepada pendengaran dan penglihatan, sekali gus mengganggu kekhusyukan seseorang.
Ubatnya ialah memisahkan dan menjauhkan diri daripada semua pengaruh itu. Antara perkara yang boleh dilakukan ialah tidak melaksanakan solat di tempat yang dipenuhi ukiran kesenian dan tidak melaksanakan solat di atas sejadah yang mempunyai celupan warna menarik serta gambar.
Ingatan kepada akhirat
Ketika hendak bertakbiratul ihram, hendaklah dikeluarkan dari hatinya segala perkara yang boleh mengganggu jiwanya dan dimasukkan ke dalam hati itu ingatan kepada akhirat serta dibayangkan kepadanya keadaan huru-hara ketika berdepan dengan Allah pada suatu hari nanti.
Walau bagaimanapun, hawa nafsu memang susah hendak dikawal. Manusia akan terus bermain tarik tali dengan hawa nafsunya. Manusia yang memang mencintai dunia dan condong kepadanya tidak boleh mengharapkan kelazatan bermunajat dalam solat.
Justeru mujahadah hendaklah dilakukan dan ia satu ubat yang pahit. Cita-cita duniawi dan cita-cita ukhrawi yang terdapat dalam hati boleh diumpamakan seperti satu gelas yang dipenuhi air dan cuka. Seberapa banyak air yang dapat dimasukkan ke dalam gelas itu akan mengeluarkan jumlah yang sama daripada cuka. Kedua-duanya tidak boleh berkumpul menjadi satu.
Kesimpulannya, ibadat solat adalah komunikasi seorang hamba dengan Allah SWT yang seharusnya terjadi dengan suasana penuh mesra dan bahagia. Ingatlah, solat yang benar-benar khusyuk saja yang mendatangkan ketenangan dan kebahagiaan dalam kehidupan seseorang.
(Sumber: Berita Harian)
Label: Agama
0 ulasan:
Catat Ulasan