Jumaat, 24 Disember 2010

Berita Harian Online | Pelindung bakat kecil

Pelindung bakat kecil


2010/12/14
Kanak-kanak ceburi bidang hiburan perlu kelulusan Ketua Pengarah JTK

KUALA LUMPUR: Kanak-kanak di bawah umur yang berhasrat menceburi bidang hiburan seperti menjadi pelakon, pemuzik atau penyanyi perlu mendapatkan kelulusan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan, berkata mereka perlu mendapatkan kelulusan dan mematuhi peraturan terkandung dalam Rang Undang-Undang Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) (Pindaan) 2010 bagi mengelakkan mereka dieksploitasi sehingga mengganggu pelajaran.
“Menerusi pindaan ini, dimaklumkan bahawa menteri akan menggubal peraturan dan mereka yang ingin terbabit dalam industri hiburan perlu mengikuti beberapa proses, termasuk mematuhi panduan dan peraturan ditetapkan.

“Tanpa kelulusan ketua pengarah Jabatan Tenaga Kerja, mereka tidak boleh bekerja dalam sektor hiburan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) (Pindaan) 2010 pada persidangan Dewan Negara, semalam.

Maznah berkata, antara peraturan yang mesti dipatuhi ialah jika bekerja selama enam hari, kanak-kanak itu perlu ada cuti selama sehari dan jika mereka bekerja selama tiga jam secara berterusan, mereka mesti ada masa rehat sekurang-kurangnya 30 minit.

“Selain itu, mereka tidak boleh bekerja di antara jam 8 malam hingga 7 pagi kecuali dalam bidang hiburan yang memerlukan kelulusan ketua pengarah Jabatan Tenaga Kerja,” katanya.
Melalui pindaan rang undang-undang itu juga, sekiranya kanak-kanak itu bersekolah, mereka tidak boleh bekerja dan bersekolah lebih dari tujuh jam.

Menurut perangkaan Jabatan Perangkaan Malaysia, terdapat 47,000 kanak-kanak yang bekerja di negara ini dan sebahagian besar daripada mereka adalah bagi membantu keluarga dan bekerja secara sambilan.

“Kementerian memandang serius mengenai penyalahgunaan tenaga kerja kanak-kanak. Melalui Jabatan Tenaga Kerja pemeriksaan berkala sentiasa diadakan di tempat pekerjaan.

“Pindaan rang undang-undang ini membenarkan kanak-kanak bekerja tetapi waktu bekerja adalah tidak melebihi tujuh jam sehari dan terhad kepada perusahaan yang diusahakan oleh keluarga mereka saja atau kerja ringan,” katanya. – BERNAMA

Berita Harian Online | Pelindung bakat kecil

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...