Isnin, 20 Disember 2010

Berita Harian Online | Islam benar perkahwinan bawah umur

Islam benar perkahwinan bawah umur
Oleh Zainul Rijal Abu Bakar
zainul.rijal@abubakar.my
2010/12/20
Mahkamah Syariah pastikan perempuan layak, kebajikan dijaga sebelum beri kebenaran

ISU mengenai perkahwinan bawah umur kembali mendapat tempat untuk dibahaskan. Pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyuarakan pandangan mereka berkenaan isu ini.
Terbaru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, menolak cadangan supaya perkahwinan kanak-kanak bawah umur diharamkan meskipun ramai tidak berpuas hati dengan perkahwinan seorang gadis berusia 14 tahun Siti Maryam baru-baru ini.

Menurut Nazri, kerajaan tidak mempunyai rancangan untuk memansuhkan undang-undang yang membenarkan perkahwinan bawah umur kerana amalan itu tidak menyalahi agama Islam sambil menegaskan jika agama membenarkannya, kerajaan tidak boleh mengharamkannya.

Perkahwinan Siti Maryam dikatakan menimbulkan pelbagai kritikan termasuk daripada Menteri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, yang berkeras berkata kerajaan tidak menyokong amalan itu.

Kumpulan aktivis pula mahu undang-undang itu dipinda kerana sering menjadi amalan dan dikatakan kira-kira 16,000 gadis bawah umur 15 tahun di Malaysian sudah berkahwin. Pertentangan kenyataan ini sebenarnya manifestasi meletakkan gender mengatasi hukum agama.

Saya mengucapkan syabas kepada Nazri kerana mempertahankan hukum syarak dalam sudut ini. Shahrizat pula seperti biasa meletakkan isu gender melebihi hukum syarak walaupun perundangan Islam membenarkan perkahwinan bawah umur asalkan sudah mencapai umur baligh dan datang haid.
Walaupun perkahwinan bawah umur dibenarkan agama, dari sudut perundangan ia bukanlah secara automatik boleh dilaksanakan. Peruntukan yang jelas ialah jika seorang perempuan bawah umur hendak dikahwinkan, wali hendaklah memohon kebenaran dari Mahkamah Syariah.

Mahkamah Syariah akan memastikan perempuan itu layak berkahwin atau sebaliknya dan kebajikan perempuan itu setelah berkahwin juga diberi perhatian. Kebenaran mahkamah bukan dibuat secara semberono tetapi dikawal kaedah hukum syarak dan perundangan Islam.

Seksyen 8 Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 menyatakan tiada suatu perkahwinan boleh diakad nikahkan di bawah akta itu jika lelaki berumur kurang daripada 18 tahun atau perempuan itu berumur kurang 16 tahun kecuali jika hakim syarie memberi kebenaran secara bertulis dalam hal keadaan tertentu.

Pada ketika ini kebiasaannya umur 16 tahun itu masih lagi di bangku sekolah iaitu di Tingkatan Empat. Manakala, lelaki berumur 18 tahun mungkin sudah menamatkan alam persekolahan.

Polemik yang timbul ialah pada waktu umur persekolahan itu bagaimanakah pasangan muda ini akan meneruskan pelajaran dan bagaimana pula jika mereka ingin meneruskan pengajian ke pusat pengajian tinggi?

Dengan adanya siasatan terperinci oleh hakim syariah sebelum memberi kebenaran, kemaslahatan dan kebajikan pasangan bawah umur dapat dijaga. Malah, hakim syarie juga boleh mengenakan syarat tertentu semasa membenarkan pernikahan itu.

Dalam banyak keadaan, perkahwinan bawah umur bukanlah atas desakan ibu bapa tetapi mereka yang ingin mendirikan rumah tangga. Malah ada antara mereka yang sudah tidak dapat dikawal oleh ibu bapa dan sanggup melakukan apa saja jika tidak dibenarkan bernikah.

Inilah pertimbangan yang perlu disiasat oleh hakim syarie sebelum memberi kebenaran kepada pernikahan pasangan bawah umur.

Justeru, saya berharap Shahrizat yang mahu mengharamkan perkahwinan bawah umur meneliti kembali peruntukan hukum syarak dan tidak sewenang-wenang membuat gesaan bertentangan undang-undang Islam.

Isu masa depan perempuan muda yang berkahwin bukan perkara yang boleh mengubah hukum. Sepatutnya program sesuai digarap bagi menjaga kebajikan perempuan muda yang berkahwin ini. Undang-undang mestilah disesuaikan dengan agama bukan agama disesuaikan dengan undang-undang.

Pasangan bernikah pada usia muda sepatutnya diberi bantuan dari segi persediaan alam rumah tangga, meneruskan persekolahan atau pengajian dan meningkatkan ekonomi keluarga. Malangnya, bukan saja perempuan muda yang berkahwin tidak dijaga kebajikannya, tetapi wanita dewasa juga banyak mengalami masalah kebajikan mereka terabai.

Tiada pembelaan yang baik kepada pasangan berkahwin sehingga mencatatkan indeks perceraian yang tinggi akibat tiada persefahaman. Kursus praperkahwinan kepada bakal pengantin tidak membekalkan ilmu yang patut mereka miliki untuk melayari bahtera perkahwinan.

Saya berpandangan walau apapun keadaannya, dalam setiap tindakan kita janganlah sampai menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. Setiap pandangan kita hendaklah digarap berteraskan kepada agama.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan boleh dihubungi di
 zainul.rijal@abubakar.my

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...