Malaysia protes Singapura
Oleh Norfatimah Ahmad, Magendran Rajagopal, Haspaizi Mohd Zain dan Sophia Ahmad
bhnews@bharian.com.my
2010/12/15
Wisma Putra panggil Pesuruhjaya Tinggi serah nota bantahan
PUTRAJAYA: Wisma Putra semalam memanggil Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, T Jasudasen untuk menyerahkan nota bantahan berhubung kenyataan beberapa pegawai kanan Kementerian Luar republik itu terhadap pemimpin negara ini.
Wisma Putra dalam kenyataannya, menegaskan nota bantahan itu merujuk kepada komen tidak berasas beberapa pegawai kanan Kementerian Luar Singapura mengenai kepemimpinan dan keadaan semasa di Malaysia seperti didedahkan laman web antarabangsa, WikiLeaks.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, pada sidang media di lobi Parlimen pula berkata, kerajaan mempunyai sistem dan saluran bagi menyampaikan bantahan serta tiada keperluan untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, membuat penjelasan.
“Kenyataan pegawai kerajaan republik itu yang didedahkan WikiLeaks, tidak memberi sebarang faedah terhadap hubungan baik kedua-dua negara.
“Mengikut adat diplomasi, kita panggil Pesuruhjaya Tinggi ke pejabat dan saya sudah jelaskan tidak puas hati terhadap apa yang diperkatakan pegawai kanan mereka serta sudah sampaikan nota bantahan,” katanya.
Anifah berkata, buat masa ini kerajaan tidak bercadang untuk ke Singapura bagi membincangkan masalah itu kerana nota bantahan sudah diserahkan kepada Singapura.
Ahad lalu, WikiLeaks mendedahkan beberapa kenyataan diplomat Singapura terhadap pemimpin negara Asia, termasuk Malaysia yang dianggap mengamalkan rasuah, tidak cekap atau bodoh.
Nota sulit diplomatik yang disalurkan laman web itu kepada kumpulan media Fairfax Australia mengandungi penilaian tidak menyenangkan mengenai tokoh utama di Malaysia, Thailand, India dan Jepun.
Antara lain, Setiausaha Tetap Kementerian Luar Singapura, Bilahari Kausikan dalam kabelnya kepada Timbalan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat bagi Asia Timur, David Sedney, bertarikh September 2008, dilaporkan berkata: “Kepemimpinan tidak cekap adalah masalah besar kepada Malaysia”.
Bilahari juga dipetik berkata: “Keadaan di negara jiran, Malaysia adalah mengelirukan dan berbahaya dan kemungkinan boleh berlaku konflik perkauman yang menyaksikan etnik Cina melarikan diri dari Malaysia dan membanjiri Singapura.”
Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang ditemui pemberita selepas menghadiri majlis dialog di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), berkata hubungan bilateral kedua-dua negara sewajarnya dijaga rapi bagi membentuk kerjasama kukuh tanpa dicemari sebarang kontroversi.
Beliau berkata, kenyataan kontroversi dan provokatif, terutama yang menyentuh hal ehwal dalaman negara lain, boleh mencetuskan pelbagai konflik yang akan menggugat kestabilan hubungan dua hala.
“Saya tak nampak (kebenaran kenyataan pegawai Singapura itu), tapi itu adalah pandangan mereka,” katanya.
Sementara itu, Kementerian Luar Singapura dalam kenyataannya berkata, Menteri Luarnya, George Yeo menghubungi Anifah menjelaskan dasar republik itu untuk tidak memberikan komen mengenai kebocoran maklumat berkenaan.
Mengenai aduan yang dibangkitkan Malaysia, kenyataan itu menjelaskan laporan WikiLeaks yang mengaitkan pegawai Singapura tidak selari dengan rekod dimiliki republik itu, malah pertemuan yang didakwa itu tidak berlaku.
Label:
Malaysiaku
Jumaat, 24 Disember 2010
Berita Harian Online | Malaysia protes Singapura
Dicatat oleh Maria Eisya Khadija (e.m.a.s.) di Jumaat, Disember 24, 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan