Isnin, 8 Februari 2010

Suruhanjaya Antara Agama tidak perlu – Muhyiddin

Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 30 Jan. – Kerajaan tidak bercadang menubuhkan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) kerana dialog tertutup yang diadakan bagi menangani isu-isu sensitif termasuk penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan Herald-The Catholic Weekly sudah memadai.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, proses dialog adalah yang terbaik bagi mencari satu titik pertemuan, mewujudkan sifat saling hormat-menghormati serta memastikan tidak tercetus perasaan yang boleh membawa perkara kurang baik kepada negara.

‘‘Ketika ini saya tidak fikir ia sesuatu yang perlu untuk kita wujudkan Suruhanjaya Antara Agama, sebaliknya dialog berterusan antara kumpulan yang mewakili agama-agama, Islam dan bukan Islam boleh menjadi sesuatu yang berguna,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Dialog Idealisme Generasi Muda dan melancarkan laman web peribadi beliau iaitu www.my-malaysia.com.my di Angkasapuri di sini hari ini.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut berdialog dan menjelaskan pelbagai isu semasa yang dibangkitkan lebih 1,000 mahasiswa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pelbagai pihak sebelum ini telah menentang cadangan penubuhan IFC yang dibuat Majlis Peguam sejak 2003 kerana ia dikatakan akan melemahkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Muhyiddin berkata, kerajaan tidak akan mengikut langkah Indonesia yang telah mewujudkan badan yang hampir sama dengan IFC kerana situasi di republik itu adalah berbeza.

‘‘Kalau di Indonesia mungkin dia satu rumpun tetapi kadang-kadang agama berbeza. Di sini kadang-kadang agama berhubung dan berkait dengan soal kaum.

‘‘Latar belakang daripada segi sosiobudaya antara kedua-dua negara tidak boleh dibandingkan, jadi kita akan uruskan situasi mengikut cara kita di Malaysia, mana yang lebih sesuai, ini yang kita gunakan,” katanya.

Mengenai isu kalimah Allah, Muhyiddin berkata, dialog secara tertutup antara kumpulan mewakili agama Islam dan Kristian sudah diadakan dan akan diteruskan.

‘‘Saya tidak payah cerita panjang-panjang sebab kita berpendapat proses sebegini adalah lebih baik bagi mencari kesepakatan untuk menyelesaikan isu sensitif seperti ini,” katanya.

Tambah Muhyiddin, dialog isu kalimah Allah itu tidak akan diadakan secara terbuka kerana tidak mahu masyarakat umum membuat tafsiran yang bermacam-macam.

‘‘Kita sudah buat. Sekarang ini orang pun tidak tahu. Biarlah dibuat secara senyap, kadang-kadang lebih baik begitu kerana ini cara berhemah, asalkan ia dibuat bukan kerana ada kepentingan politik, sebaliknya untuk mencari satu titik pertemuan bagi mewujudkan persefahaman dan melahirkan suasana aman,” ujarnya.

(Sumber dari Utusan Malaysia, 31/01/2010)

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...