Selasa, 9 Februari 2010

4 tonggak jaya agenda negara: PM

Oleh Johari Ibrahim
joib@bharian.com.my


PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak menggariskan empat tonggak utama untuk dilaksanakan oleh pentadbiran awam bagi menjayakan agenda negara sepanjang tahun ini, iaitu gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan; Program Transformasi Kerajaan (GTP); Model Ekonomi Baru dan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

Perdana Menteri, dua perkara lain yang menjadi elemen penting kepada empat tonggak berkenaan ialah pemikiran kreatif dan inovatif serta kepantasan membuat keputusan.

Beliau berkata pemikiran kreatif dan inovatif, iaitu pendekatan penciptaan nilai perlu digunakan dalam ekonomi dan pembangunan yang turut membabitkan penilaian semula pemikiran tahap lama bagi mencari kaedah yang lebih baik.

“Kepantasan membuat keputusan dan melaksanakan dasar pula memberi kesan yang amat besar kepada pentadbiran kerana ia ada kaitan langsung dengan daya saing Malaysia.

“Kita akan dinilai oleh laporan daya saing dunia dan kalau kita berada dalam senarai 10 negara teratas, tentu orang akan lihat kita sudah berada pada tahap negara yang berkemampuan tinggi.

“Saya harap penjawat awam akan memberi komitmen sepenuhnya (kepada) apa yang dianggap penting untuk memenuhi jangkaan dan harapan rakyat," katanya pada majlis perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini semalam.

Najib mengumpamakan empat tonggak berkenaan seperti empat kaki kerusi yang semuanya diperlukan untuk memastikan tempat duduk itu stabil dan selamat.

“Kalau kerusi yang stabil... nak duduk kita rasa selamat. Ada kerusi tiga kaki tetapi tak berapa selamat dan kalau dua kaki lagilah tak selamat,” katanya.

Menghuraikan gagasan 1Malaysia, Najib berkata beliau tidak mahu ia dianggap sebagai slogan atau retorik, sebaliknya pengertian yang mendalam dari segi pendekatan dan perubahan yang dilakukan kerajaan.

Beliau berkata gagasan itu adalah usaha murni memacu perpaduan nasional yang membawa kepada kestabilan dan bergerak dalam satu keluarga yang besar untuk menuju matlamat yang sama.

“Ada kumpulan dan individu yang ingin merosakkan keharmonian dan perpaduan dalam negara. Walaupun ia kecil tetapi ingat, bara kecil yang tidak dipadamkan, boleh menjadi api yang akan menghancurkan dan membinasakan kita.

“Jika gereja dan surau dibakar, kepala khinzir dicampak ke perkarangan masjid, ini adalah perkara serius yang mesti ditangani bersama,” katanya.

Justeru, katanya, Gagasan 1Malaysia amat penting untuk memupuk rasa kekeluargaan sesama rakyat pelbagai kumpulan etnik serta budaya.

“Rakyat Didahulukan kerana kerajaan ini adalah kerajaan rakyat dan bukan (hanya) untuk perniagaan atau korporat besar. Ia kerajaan untuk rakyat dan ini kita mesti terjemahkan dalam bentuk dasar, program dan peruntukan kita, manakala Pencapaian Diutamakan kerana jika tidak rakyat akan bersikap sinis... umum satu dasar, umum satu program tetapi pelaksanaannya masih timbul banyak persoalan," katanya.

Perdana Menteri berkata GTP pula adalah janji kerajaan yang perlu ditunaikan oleh semua pihak selaras dengan akujanji kepada rakyat.

Beliau berkata Model Ekonomi Baru yang akan dibentangkan pada penghujung bulan depan pula bertujuan memberi suntikan kepada pembangunan ekonomi negara agar lebih berdaya saing.

“Ia berpindah daripada (negara) berpendapatan pertengahan kepada negara yang lebih kompetitif dan lebih berjaya. Ini akan merumuskan strategi ekonomi untuk negara,” katanya.

Sementara itu, RMK-1O pula akan mengandungi banyak ketetapan yang dibuat dalam GTP, Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) dan Model Ekonomi Baru itu.

(Sumber dari Berita Harian, 08/02/2010)

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...