Isnin, 21 Mac 2011

Pertumbuhan terus kukuh

Berita Harian Online|Pertumbuhan terus kukuh
Oleh Kamarulzaidi Kamis
kamarulzaidi@bharian.com.my
2011/03/10

image PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada majlis taklimat oleh Lembaga Pengarah Bank Negara Malaysia di Kuala Lumpur, semalam. Hadir sama Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz (kanan). - Foto Aizuddin Saad

Dua pendekatan pastikan ekonomi berkembang 6 peratus

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memastikan ekonomi negara terus berkembang sekurang-kurangnya pada kadar lima hingga enam peratus tahun ini, walaupun terpaksa menghadapi risiko baru ekonomi akibat kenaikan harga minyak global.

Berikutan itu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dua pendekatan akan diambil menerusi pelaksanaan pelbagai projek di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) secara tersusun serta memastikan permintaan domestik kekal pada paras kukuh menerusi beberapa langkah yang akan diumumkan secara berterusan.

“Kita akan mengambil segala langkah supaya sasaran pertumbuhan itu dapat dicapai, walaupun berdepan pelbagai cabaran termasuk pertumbuhan ekonomi global yang lebih perlahan berbanding 2010 dan kenaikan harga minyak mentah serta komoditi,” katanya selepas majlis taklimat oleh Lembaga Pengarah Bank Negara Malaysia di Kuala Lumpur, semalam. Hadir sama Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kenaikan harga minyak berpotensi menjejaskan pertumbuhan ekonomi global, selain jangkaan sebelum ini bahawa pertumbuhan sederhana ekonomi negara maju yang memperlahankan pertumbuhan eksport negara perlahan, terutama barangan perkilangan.

Katanya, kerajaan kini berusaha memastikan permintaan domestik kekal kukuh khususnya dari segi penggunaan dan pelaburan swasta menerusi pelaksanaan projek di bawah ETP.

Ditanya risiko terbesar kepada ekonomi Malaysia, Najib berkata: “Sudah tentu kenaikan harga minyak (akibat ketegangan politik di beberapa negara Asia Barat dan Afrika Utara). Keduanya isu krisis hutang kedaulatan (di beberapa negara Eropah).

“Namun kami rasakan perkara itu adalah terurus dan ketiganya, kenaikan kadar inflasi berterusan yang memberi kesan kepada pengguna.”

Mengenai defisit kerajaan yang dijangka meningkat, Najib berkata, ia akan bergantung kepada jumlah pendapatan kerajaan berbanding berapa banyak peningkatan subsidi, khususnya jika tiada semakan semula dari segi harga petrol, diesel bersubsidi serta perkara lain.

Katanya, berdasarkan harga minyak mentah semasa, ia akan memberikan tambahan perbelanjaan subsidi sebanyak RM4 bilion tahun ini, sekali gus menjadikan keseluruhan perbelanjaan subsidi boleh mencecah RM14 bilion.

Harga minyak mentah pasaran New York kekal pada paras tertinggi dalam tempoh lebih dua tahun, iaitu AS$104 satu tong semalam berbanding sekitar AS$80 hingga AS$85 satu tong pertengahan tahun lalu.

Sementara itu, penganalisis yakin pelaksanaan (ETP) akan berupaya meningkatkan permintaan domestik dan pelaburan akan menjadi kuasa penggerak utama untuk mengelakkan kelembapan selanjutnya dalam pasaran domestik.

“ETP memastikan pertumbuhan ekonomi yang kukuh bagi Malaysia,” kata Ahli Ekonomi AmResearch, Manokaran Mottain.

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...