Ahad, 23 Januari 2011

Berita Harian Online | Pelancong merungut Malaysia tak bersih

Pelancong merungut Malaysia tak bersih
Oleh Ramli Ibrahim

2011/01/23
GUA MUSANG: Menteri Pelancongan, Datuk Seri Ng Yen Yen, terkejut apabila Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, menghantar sistem pesanan ringkas (SMS), mengatakan pelancong asing merungut terhadap tahap kebersihan di negara ini.

Ng berkata perkara itu terjadi apabila ada pelancong asing dari London memberitahu baginda bahawa kebersihan Malaysia masih belum memuaskan.
 
“Saya ada menerima SMS daripada baginda Sultan Pahang yang berada di London beberapa hari lalu, memberitahu ada pelancong negara berkenaan merungut dan memberitahu baginda mengenai tahap kebersihan negara.
 
“Saya mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan baginda terhadap perkara ini dan mengakui tahap kebersihan khususnya di tempat awam memang masih belum memuaskan,” katanya.

Beliau memberitahu pemberita selepas majlis pelancaran 1Malaysia Indah, 1Malaysia Bersih, di Kampung Pulai, dekat sini, petang kelmarin. Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Ab Aziz Yusoff.

Ng yang juga Naib Presiden MCA berkata, kementeriannya sentiasa komited dalam memastikan tahap kebersihan negara sentiasa memuaskan melalui penganjuran beberapa kempen.

Katanya, pengenalan kempen 1Malaysia Indah, 1Malaysia Bersih, banyak memberi pengajaran kepada rakyat dalam menjaga keber-sihan persekitaran dan kini sudah menunjukkan peningkatan dalam menjaga kebersihan di negara ini.
“Negara mempunyai banyak tempat menarik dengan flora faunanya yang masih belum terjejas walaupun sudah berlaku pembangunan pesat di Malaysia dan ini masih mampu pelancong asing ke sini.

“Namun, apa yang kita bimbangkan ialah usaha memastikan tahap kebersihan sentiasa dipertingkatkan bukan saja kebersihan persekitaran, malah ia juga termasuk keceriaan tandas awam,” katanya.

Beliau berharap rakyat negara ini akan lebih bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan dengan tidak hanya meletakkan tugasan ini di bahu kerajaan serta pihak berkuasa tempatan (PBT) saja.

“Rakyat Malaysia harus menanam sikap ingin melihat negara sentiasa bersih dan mereka boleh merealisasikannya  
dengan mengutip sampah serta membuangnya ke dalam tong sampah,” katanya.

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...