Khamis, 4 Februari 2010

Transformasi mendahulukan rakyat

Transformasi mendahulukan rakyat
Oleh Md Shukri Shuib
Pentadbiran Najib janji pembaharuan bawah 1Malaysia, tingkat mutu perkhidmatan awam

NEGARA di bawah kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak dilihat melangkah jauh ke depan apabila dengan beraninya mengadakan program bagi memberikan tatapan kepada rakyat terhadap pelan hala tuju untuk program transformasi kerajaan (GTP) yang mula dijuarainya sejak April 2009, iaitu seawal usia pentadbiran beliau.

Pada masa sama, pelan itu adalah sebahagian tema 1Malaysia yang beliau juarai bersama tekad di bawah agenda enam bidang keberhasilan utama negara (NKRA), iaitu dengan janji dan komitmen kerajaan bagi mengurangkan jenayah, membanteras rasuah, mempertingkatkan pencapaian pelajar, mempertingkatkan taraf kehidupan isi rumah berpendapatan rendah, mempertingkatkan infrastruktur asas luar bandar dan terus berusaha demi mempertingkatkan pengangkutan awam di bandar.

GTP yang dirancang dan dilaksanakan kerajaan sebenarnya memperlihatkan betapa Najib dan kerajaan pimpinannya begitu ghairah dalam melaksanakan pembangunan negara berteraskan kepada peningkatan kehidupan rakyat yang sejahtera, selamat serta bahagia. Dalam menghadapi pelbagai cabaran politik dan ekonomi, apa yang dapat dilihat, kerajaan pimpinan Najib sentiasa mendahulukan rakyat dalam sebarang konsep pembangunan yang hendak dilaksanakan.

Namun, hasrat memberikan kesejahteraan kepada rakyat melalui pembukuan pelan semata-mata dan pembinaan slogan yang dicanang gah semata-mata, pasti tidak akan membawa sebarang kebaikan. Yang baiknya ialah jika pelan yang dikaji dan dirancang serta dibukukan itu bersama tekad slogan, benar-benar dilaksanakan dan kumpulan sasar mendapat nikmat sebenar pelaksanaannya, sudah pasti itu yang ditunggu-tunggu rakyat.

Namun, melihat kepada tekad dan muhasabah Najib dalam memastikan kerajaan pimpinannya tetap unggul dan terus mendapat mandat rakyat, pastinya Najib dan usahanya harus didukung semua pihak. Menteri dan pegawainya serta sejumlah 1.2 juta penjawat awam sama ada berpangkat rendah mahupun dalam kategori pengurusan tertinggi harus memahami dan melaksanakan 'amanah' Najib itu dalam bentuk aplikasi yang membawa kebaikan kepada rakyat.

Kakitangan awam yang semestinya menjadi tonggak kepada sebarang pelaksanaan dasar kerajaan seharusnya membulatkan tekad untuk menjayakan aspirasi 'bos' mereka, dan dalam konteks ini, Najib adalah 'bos' kepada semua kakitangan awam di semua peringkat, sama ada negeri mahupun Persekutuan, adalah wajar bersatu tekad dan berusaha memenuhi keperluan masyarakat, berbanding hanya asyik dengan usaha memenuhi keperluan politik dan agenda berparti semata-mata.

Jika GTP ini mampu dijiwai semua lapisan masyarakat, apatah lagi dengan agenda 1Malaysia yang mahu melihat kesepaduan negara dan masyarakat lebih utuh, maka tiada alasan bagi mana-mana pihak untuk mengetepikan agenda dan isi perjuangan menerusi GTP demi melihat kejayaan Malaysia terutama dalam menuju sasaran Wawasan 2020 yang bertekad bahawa Malaysia akan bergelar negara maju menjelang 2020.

Jika gagal misi ini, bukan saja kerajaan dilihat gagal, malah seluruh rakyat Malaysia termasuk anggota politik pembangkang juga gagal dalam membina 'survival' Malaysia yang terbaik. Alangkah baiknya jika semua kakitangan awam di bawah pimpinan Najib, termasuk mereka yang berada di bawah negeri pimpinan pakatan pembangkang lebih menjiwai rakyat.

Ertinya ialah sebarang tindakan dilaksanakan berunsurkan kemanusiaan dan keinsanan, yakni tidak membuat sesuatu keputusan yang boleh menyusahkan rakyat dengan jerat proses birokrasi yang keterlaluan sehinggakan imej kerajaan dan pegawainya dalam melaksanakan misi GTP ini dilabelkan kemudiannya oleh masyarakat pengguna sebagai pegawai yang hanya mengikut buku panduan tanpa ada unsur insani.

Cabaran besar kepada kerajaan, termasuk juga menteri dan kumpulan pegawai yang bersama mereka, seharusnya lebih sedar akan tanggungjawab besar mendukung GTP dan pada masa sama, mereka harus sedar setiap tingkah laku pegawai dan penjawat awam ini turut sama mendapat penilaian rakyat.

Jika tidak sia-sialah Pelan Hala Tuju GTP yang didokumenkan dalam bentuk buku tebal, selain dalam bentuk cakera padat untuk tatapan dan penilaian rakyat. Pegawai yang mendapat 'rezeki' mereka dalam khidmat kepada kerajaan dan rakyat haruslah benar-benar bersih, cekap dan amanah dalam melaksanakan aspirasi Najib.

Najib harus bukan saja menilai aspek yang hendak dibangunkan dan disalurkan kepada rakyat dalam tema dan bentuk laporan, pelan mahupun slogan, malah menerapkan unsur keinsanan yang tinggi kepada menteri, wakil rakyat, ahli politik pimpinannya serta pegawai kerajaan seluruhnya supaya 'hati' rakyat dapat tertambat semula kepada parti pimpinan Najib.

Jika ini tidak dapat dilaksanakan, maka samalah seperti slogan kerajaan-kerajaan negeri pimpinan pembangkang yang dilihat gagal dilaksanakan mereka. Inilah pentingnya tindakan berbanding slogan, dan Barisan Nasional yang memimpin kerajaan dilihat sentiasa berusaha bukan saja mencipta slogan malah lebih daripada itu, dilihat berjaya memenuhi pembangunan serta mencipta kejayaan seperti dirancang.

Jika tidak, masakan dalam mandat lebih setengah abad mentadbir Malaysia, kita begitu dikagumi dan diiktiraf sebagai negara contoh oleh dunia maju dan membangun lain. Kata-kata Najib bahawa sebagai kerajaan yang telus dengan prinsip kebertanggungjawaban, maka kerajaan pimpinannya tidak akan berhenti daripada melakukan perubahan.

Malah Najib juga memberi komitmen bahawa rakyat akan dipastikan merasai, menyentuh dan mengalami perubahan yang berlaku, memperlihatkan usaha bersungguh-sungguh beliau dalam mendalami denyut nadi rakyat. Sokongan dua bekas Perdana Menteri - Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi menunjukkan betapa usaha Najib dalam menjayakan misi melakukan perubahan terhadap cara kerja kerajaan dilihat positif dan berdaya maju.

Ini menandakan bahawa Najib adalah pemimpin yang membawa bersamanya idea, wawasan serta tekad dalam mengemudi kepemimpinan negara. Najib sedar akan risiko yang bakal dihadapi GTP ini jika gagal memenuhi janji kepada rakyat. Namun, bagi Najib selaras dengan dasar 1Malaysia bertemakan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan', maka atas kesedaran sebagai kerajaan yang bertanggungjawab dan reda dinilai oleh rakyat menunjukkan komitmen ikhlas kerajaan kepada rakyat.

Najib sebagai pemimpin berwawasan semestinya mempunyai cara tersendiri dalam menggerakkan usaha bagi memenuhi sasaran GTP yang dijanakan kepemimpinannya. Untuk itu, seluruh rakyat seharusnya memberikan Najib sokongan dan peluang bagi beliau untuk memenuhi harapan menzahirkan pembinaan Malaysia yang lebih bersepadu dan cemerlang.

Penulis ialah pensyarah di Universiti Utara Malaysia, Kedah

(Sumber dari Berita Harian, 03/02/2010)

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...