Oleh IZYAN LIYANA MOHD. DARIF
izyanliyana.mdarifkosmo.com.my
PADA tahun 2010 genap dua tahun Hamidah Mohamad Tahir, 54, berniaga aksesori dan pakaian di tapak lot KL Bazar di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur. Biarpun diusahakan secara kecil-kecilan, ia cukup bermakna buat Hamidah kerana hasil jualan itulah yang menjadi sumber pendapatan buat dirinya sekeluarga.
Setiap hari sekitar pukul 9 pagi, Hamidah dan pembantunya mula sibuk memulakan operasi. Koleksi pakaian yang diimport dari negara seberang disusun cantik. Gelang tangan kristal yang dibeli dari Sabah pula diatur kemas dalam kotak.
"Bagi saya, 2009 merupakan tahun yang paling 'sakit' buat golongan peniaga kecil. Kami terpaksa berhadapan dengan kegawatan ekonomi.
"Sedih dibuatnya. Stok barangan melimpah dan memenuhi segenap ruang kedai. Tetapi pelanggan yang datang membeli belum cukup untuk balik modal apatah lagi hendak untung. Pendapatan cuma cukup untuk melangsaikan wang pekerja, bil dan sewa kedai," luah Hamidah ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Hamidah tidak menyangka dia dihimpit keperitan sebaik 2009 membuka tirai. Anak kelahiran Gombak, Selangor itu menyangka dia dapat membawa pulangan modal dan keuntungan memberangsangkan seperti tahun 2008.
Sebaliknya, dia terpaksa meningkatkan usaha jualan ke sana ke mari dan tidak boleh bergantung pada jualan di kedai semata-mata. Inisiatif itu perlu dilakukan supaya dia tidak terus mengalami kerugian.
"Peniaga kecil seperti kami memang terasa kesannya. Pelanggan mula berjimat-cermat sehingga sanggup membeli produk tiruan yang harganya lebih murah. Perlu diingat, peniaga besar ada aset, pelabur dan wang sokongan sekiranya mengalami kerugian.
"Tetapi bagi peniaga kecil, kami kena usaha dan kerja kuat. Untuk mendapatkan pinjaman bank agak sukar kerana kami perlu sediakan banyak dokumen dan penjamin. Persoalannya, siapa yang sudi menjadi penjamin?" luah Hamidah dalam nada sedih apabila ramai peniaga kecil terpaksa meminjam daripada ceti haram.
Hamidah menyatakan pada tahun 2008, dia mampu mengaut keuntungan bulanan antara RM5,000 hingga RM8,000 ke atas. Namun pada tahun 2009, untuk mendapatkan hasil jualan sebanyak RM3,000 pun cukup memeritkan.
Justeru, dia cukup berharap kerajaan mengambil langkah sewajarnya untuk meringankan beban peniaga-peniaga kecil. Misalnya, kerajaan perlu telus dengan mengumumkan keadaan ekonomi dari semasa ke semasa. Jadi, golongan peniaga dapat bersiap sedia dari segi tempahan produk, pekerja dan fasiliti yang lain.
Ibu kepada tiga orang cahaya mata itu turut menyarankan supaya kerajaan dan pihak berkuasa buka mata terhadap para peniaga warga asing.
Periuk nasi
Kehadiran kelompok tersebut bagaikan menutup periuk nasi peniaga kecil warga tempatan. Mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk melariskan produk. Walaupun terpaksa menyewa tapak jualan yang mencecah RM4,000 sebulan ia langsung tidak menjadi masalah.
Ini kerana gerai jualan mereka tidak putus-putus dikunjungi pengunjung yang ingin mendapatkan barangan murah biarpun ia produk tiruan. Hasilnya, mereka mampu memperoleh hasil jualan yang berlipat ganda.
"Peniaga tempatan sukar buat begitu kerana ia akan menyebabkan kami mengalami kerugian besar. Peniaga asing boleh menjual murah kerana mereka membeli produk-produk tersebut di negara sendiri pada harga yang lebih murah.
"Misalnya, mereka boleh mendapatkan gelang tangan daripada pengilang pada harga RM2 dan menjualnya pada harga RM5 di sini. Pengilang pula menjual kepada kami pada harga mencecah RM5. Sebab itu kami terpaksa jual sekitar RM7 hingga RM10," kata Hamidah yang benar-benar berharap kerajaan melakukan sesuatu bagi menangani masalah tersebut.
Hamidah sempat menyatakan tinggal sedekad saja lagi negara untuk mencapai Wawasan 2020. Jadi, beliau berharap pihak kerajaan sudah bersedia dengan pendekatan dan strategi yang boleh memantapkan ekonomi negara.
Cabaran ekonomi
Sebagai contoh, menawarkan beberapa program yang boleh memantapkan perniagaan usahawan kecil agar dapat berdaya saing dengan usahawan besar dalam mempertingkatkan ekonomi negara menjelang tahun 2020.
Hari ini kita sudah memasuki tirai tahun 2010. Ini bermakna tinggal sedekad saja lagi untuk Malaysia melangkah ke Wawasan 2020 yang telah dibentangkan oleh Tun Mahathir Mohammad pada Mesyuarat Majlis Perdagangan Malaysia pada 28 Februari 1991.
Barangkali segelintir pihak sudah lupa tentang Wawasan 2020 yang bermatlamat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara industri dan maju menjelang tahun 2020.
Kemajuan yang dimaksudkan meliputi aspek ekonomi, politik, sosial, kerohanian dan kebudayaan. Dalam menentukan kejayaan misi tersebut, terdapat sembilan cabaran yang perlu diharungi. Namun secara rumusannya kesemua cabaran itu lebih tertumpu pada bidang ekonomi dan hubungan perkauman.
Dalam cabaran kelapan, tertera iltizam berkaitan masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi. Maksudnya, masyarakat yang melaksanakan pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama. Wujud perkongsian sepenuhnya bagi setiap rakyat dalam perkembangan ekonomi.
"Keadilan ekonomi yang dimaksudkan ialah keadaan ekonomi sesebuah negara yang tidak dimonopoli oleh satu-satu bangsa atau golongan sahaja.
"Contoh yang paling hampir apabila wujudnya tanggapan kaum Cina lebih tertumpu dalam bidang perniagaan. Manakala orang Melayu pula hanya menjadi kakitangan kerajaan. Persepsi itu harus diubah kerana pastinya terdapat dalam kalangan orang Cina yang ingin menjadi kakitangan kerajaan, begitu juga dengan orang Melayu yang mahu menjadi ahli perniagaan berjaya.
"Mengapa aspek ekonomi perlu dititikberatkan? Sebabnya, peranan ekonomi biasanya menjadi faktor utama yang digunakan dalam menentukan status sesebuah negara sama ada membangun atau maju," ujar Pensyarah Pengurusan Strategik Universiti Utara Malaysia (UUM) dan penganalisis ekonomi, Haim Hilman Abdullah.
Misalnya faktor pendapatan per kapita, Kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan tahap industrialisasi seringkali dijadikan asas penilaian. Faktor-faktor lain seperti Indeks Pembangunan Manusia yang menggabungkan aspek ekonomi, pendapatan negara, indeks jangka hayat dan pendidikan juga digunakan.
Pada dasarnya negara maju mempunyai Indeks Pembangunan Manusia yang sangat tinggi. Sebagai contoh, kadar pendapatan per kapita rakyat Malaysia hari ini sekitar RM21,500 setahun. Kadar itu sangat jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan pendapatan per kapita rakyat Singapura iaitu sekitar RM106,000 setahun.
Tambah Haim, membandingkan Malaysia dengan Singapura mungkin tidak begitu sesuai kerana republik itu mempunyai empat juta penduduk sahaja. Oleh itu, perbandingan terbaik untuk Malaysia barangkali ialah Korea Selatan dan Taiwan. Pada era 70-an, kedua-dua negara itu lebih mundur berbanding Malaysia.
Namun kini, penduduk negara tersebut telah mencatat pendapatan tiga kali ganda lebih tinggi daripada pendapatan rakyat Malaysia. Inilah cabaran yang harus dilunaskan oleh kerajaan dan rakyat.
Adakah Malaysia mempunyai masa untuk mencapai Wawasan 2020? Haim menyifatkan ia bergantung kepada kerjasama daripada semua pihak. Melihat situasi Malaysia pada hari ini sudah tergambar kesukaran untuk merealisasikan misi tersebut seandainya tiada sebarang perubahan terutama dalam model ekonomi negara.
Jelas Haim, satu model ekonomi baru yang terancang wajar digubal. Rakyat di segenap lapisan masyarakat perlu memahami inti pati model ekonomi baru itu dan tahu apakah peranan mereka. Usaha mencapai negara maju bukan terletak di bahu kerajaan sahaja, tetapi perlu turut disertai oleh pihak swasta dan rakyat.
Tetapkan objektif
Justeru, dalam tempoh sepuluh tahun terakhir kerajaan perlu membahagikan beberapa fasa perancangan. Tetapkan objektif, strategi, program dan bajet secara terperinci.
"Selain itu, kita perlu mengenal pasti PetunjukPrestasi Utama (KPI) bagi memastikan setiap yang dirancang mencapai sasarannya. Sasaran mencapai kadar pertumbuhan KDNK 5.5 peratus setahun atau lebih tinggi bermula dari 2011 sehingga 2020 mampu membantu negara menjadi negara maju pada tahun 2020," ulas Haim.
Haim juga berharap Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) yang akan dibentangkan tidak lama lagi mampu menjadi memangkin persekitaran ekonomi yang mesra sektor perkhidmatan selain menitikberatkan aspek inovasi dan nilai tambah sektor pembuatan sedia ada.
Usaha mewujudkan aspek servitization produk juga harus digembleng secara terancang. Ini kerana sektor pembuatan dan komoditi masih mampu menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Sekiranya semua dapat direalisasikan, maka adalah tidak mustahil rakyat Malaysia menjadi kaya empat kali ganda. Pendapatan kita juga setaraf dengan pendapatan rakyat Singapura, Korea dan Taiwan yang pada satu ketika dahulu sama taraf dengan rakyat Malaysia.
Sementara itu, Pensyarah Sosiologi, Jabatan Sosiologi dan Antropologi, Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Fatimah Daud menjelaskan, apabila ekonomi negara maju dan meningkat, rakyat akan gembira menjalani kehidupan yang stabil. Secara tidak langsung Wawasan 2020 dapat dicapai dengan sempurna.
Dengan itu tercapailah hasrat mantan Perdana Menteri keempat, Tun Mahathir Mohamad agar Malaysia menjadi sebuah negara industri dan benar-benar maju menjelang tahun 2020 mengikut acuan kita sendiri.
Daripada sembilan cabaran mencapai Wawasan 2020, cabaran terbesar yang perlu diatasi ialah cabaran sosial, psikologi, budaya dan politik. Maka, rakyat Malaysia harus berganding bahu dan elakkan daripada membangkitkan isu perkauman yang boleh mencetuskan kemarahan dan perbalahan antara kaum.
"Insiden ini perlu dielakkan sama sekali. Bayangkan apabila rakyat hidup dalam keadaan kucar-kacir dan bergaduh, bagaimana kita hendak bekerja dalam memantapkan aspek ekonomi negara?
"Kesannya, kita mengalami masalah untuk menukar status negara kepada negara maju menjelang tahun 2020," ujar Fatimah yang menyarankan masyarakat tempatan menyokong program 1Malaysia yang dianjurkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak.
(Sumber dari Kosmo)
Label:
Malaysiaku
0 ulasan:
Catat Ulasan