Khamis, 28 Oktober 2010

Berita Harian Online | Terpateri kemas

Terpateri kemas


2010/10/22

image

"Seandainya mempunyai majoriti dua pertiga dalam Parlimen pun, tidak akan mampu mengubah setitik apa jua, tanpa kebenaran Majlis Raja-Raja Melayu" - Datuk Seri Najib Razak, Presiden UMNO. - Foto Effendy Rashid
Hak orang Melayu, kaum lain dijamin Perlembagaan Persekutuan

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menjelaskan kedudukan dan hak istimewa orang Melayu serta kepentingan kaum lain dari segi politik sudah terkunci kemas dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak boleh dipinda tanpa perkenan Majlis Raja-Raja Melayu.
 
“Seandainya mempunyai majoriti dua pertiga dalam Parlimen pun, tidak akan mampu mengubah setitik apa jua, tanpa kebenaran Majlis yang dianggotai sembilan Raja-Raja Melayu.
“Dalam kata lain, sia-sia saja jerit pekik untuk menggunakan peruntukan tentang kerakyatan bagi mengancam kaum lain kerana peruntukan yang tertulis ini begitu konkrit sekalipun darurat diisytiharkan, ia tetap tidak boleh disinggung,” katanya dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung UMNO ke-61 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.

Dalam ucapan bertema ‘Mendaya Bangsa Meneraju Kemakmuran’, Perdana Menteri berkata, Perlembagaan memperincikan secara jelas dalam artikel Bahagian 3 mengenai kewarganegaraan, Perkara 38 berkaitan Majlis Raja-Raja, Perkara 152 mengenai Bahasa Kebangsaan dan Perkara 153 mencakupi antara lain rizab kuota perkhidmatan dan permit untuk orang Melayu.

Perkara 159 pula menjelaskan bahawa pindaan terhadap artikel-artikel itu tidak boleh dilakukan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja dan diperkukuhkan lagi dengan Perkara 10 Fasal 4, yang memberi Parlimen kuasa menggubal undang-undang melarang perbuatan mempersoal apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau hak kedaulatan yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian 3, Perkara 152, 153 dan Perkara 181.

Sehubungan itu, Presiden UMNO dalam ucapan lebih sejam, mengingatkan isu itu tidak perlu diperbahaskan di mana-mana saja bagi mengelakkan keresahan serta mengapi-apikan ‘primordial instinct’ atau naluri asal wujud antara etnik.
“Hendaklah kita mengetahui bahawa apa yang menjadi polemik hebat hari ini, sama ada tentang kerakyatan selepas merdeka atau hak istimewa orang Melayu sebenarnya sudah menjadi perdebatan akademik. Dari segi perundangan, peruntukannya sudah tersurat dan sekali gus terpateri kemas.

“Di sebalik semuanya, suka tidak suka, ada sebab yang amat kuat mengapa perkara ini tidak dibenarkan untuk dipinda kecuali dengan perkenan Majlis Raja-Raja.

“Hikmahnya, adalah supaya peruntukan itu di letakkan luar daripada forum perbincangan. Jika dibuka juga kepada perbahasan, maka kita bimbang, kita khuatir, ia akan membangkitkan keresahan serta mengapi-apikan ‘primordial instinct’ atau naluri asal wujud antara etnik,” katanya.

Beliau berkata, rakyat perlu sedar jika naluri asal itu tidak diuruskan dengan baik, negara mungkin menyaksikan kezaliman sangat dahsyat yang dinyalakan oleh sikap dan disemarakkan sifat tabie manusia sendiri.

Katanya, situasi itu boleh berlaku tanpa mengambil kira betapa majunya sesebuah ekonomi, betapa berevolusinya sesebuah tamadun, betapa terpelajarnya manusia dan betapa tinggi tahap toleransi.

“Pada abad ke-20, kita dipampangkan dengan kes hukuman tanpa perbicaraan di Amerika Syarikat, tragedi holocust di benua Eropah, penyembelihan rakyat Palestin serta penghapusan etnik di Bosnia dan Rwanda.

“Bayangkanlah kesudahannya jika setiap generasi serta rakyat mengambil pendirian untuk mempersoalkan kewajaran kontrak sosial kebangsaan yang sudah dimuafakatkan pendahulu kita sebelum ini.

“Pucuk pangkalnya, mengapa mahu diubah apa yang telah berjalan dengan begitu baik. Janganlah yang elok menjadi retak, janganlah yang bersambung menjadi putus,” katanya.

0 ulasan

Berita Harian Online | Julang ekonomi Melayu

Julang ekonomi Melayu


2010/10/23

image

Bentuk Pelan Induk Pembangunan Bumiputera; Jadikan agenda pembangunan luar bandar program wajib

KUALA LUMPUR: Perbahasan usul ekonomi pada hari kedua Perhimpunan Agung UMNO Ke-61 semalam mahu kerajaan mengambil langkah lebih agresif bagi menjulang ekonomi orang Melayu termasuk membentuk Pelan Induk Pembangunan Bumiputera (PIPB).

Ini sebagai panduan pelaksanaan dasar serta memastikan pemantauan dan penyelarasan agenda Bumiputera, terutama dalam bidang ekonomi dapat dilaksanakan secara berkesan serta mencapai sasaran.
 
Ketika membentangkan usul ekonomi, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, berkata PIPB perlu dijadikan dasar membangunkan Bumiputera dalam pelbagai bidang dan memastikan urusan mengukur tanda aras dan sasaran pencapaian Bumiputera dilaksanakan secara lebih sistematik sambil dipantau Majlis Tertinggi Agenda Bumiputera (MTAB) yang dipengerusikan Perdana Menteri.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Ekonomi UMNO berkata, usaha itu juga akan dapat memastikan Bumiputera mencapai matlamat Model Baru Ekonomi (MBE) tanpa sebarang halangan.

Kita berharap dengan pengawasan rasmi MTAB terhadap agenda membantu Bumiputera di semua kementerian dan jabatan, ekonomi dapat ditransformasi menjadi ekonomi moden dan kompetitif, selaras MBE yang inklusif, katanya.

Usul ekonomi itu kemudian disokong wakil Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim dan dibahaskan wakil UMNO negeri serta sayap parti sebelum diluluskan.
Sebelum itu, perwakilan turut meluluskan usul ucapan dasar Presiden selepas sesi perbahasan bersambung awal pagi semalam dengan enam lagi wakil UMNO negeri, termasuk wakil Puteri UMNO serta wakil Kelab UMNO mengambil bahagian.

Razali ketika menyokong usul ekonomi berkata, penubuhan MTAB yang menetapkan 30 peratus KPI untuk sesiapa yang menganggotainya bagi memastikan pemilikan ekonomi Melayu dan Bumiputera tercapai, adalah tepat.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan menggariskan tiga syor, termasuk mewujudkan Inisiatif Perkongsian Tulen dengan memilih individu, syarikat, kesatuan atau Bumiputera yang layak untuk mewakili Melayu.

Namun, beliau mencadangkan MTAB diasingkan daripada agensi kerajaan supaya tidak mengulangi kesalahan lalu seperti penubuhan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang kini dinikmati pihak lain.

Kita tidak mahu akhirnya Melayu tidak nampak apa yang UMNO buat. Kita juga tidak mahu orang lain tanam, orang lain menuai kerana rakyat tidak memahami apa yang dilakukan, menyebabkan mereka tidak menghargai sumbangan UMNO, katanya.

Sementara itu, wakil Wanita UMNO, Sharifah Azizah Syed Zin, berkata berdasarkan komposisi kaum, kuota ekuiti Bumiputera sepatutnya dinaikkan sehingga 60 peratus dan tidak boleh dipertikaikan kaum lain berikutan kuota 30 peratus yang ditetapkan belum mencapai sasaran.

Wakil UMNO Johor, Ayub Jamil, pula mendesak kerajaan supaya segera melakukan tindakan susulan ke atas semua rancangan membangunkan ekonomi Melayu kerana ketika ini sudah wujud anggapan parti terbesar Melayu itu hanya hebat pada dokumen, tetapi gagal melaksanakannya.

Wakil UMNO Pahang, Suhaimi Sulong, berkata pelan induk itu dan MTAB seharusnya memantau program berkaitan untuk memastikan pelaksanaan yang efisien dan efektif.

Wakil Pulau Pinang, Muhamad Farid Saad, berkata masyarakat luar bandar perlu dibela kerana merekalah yang akan membela UMNO nanti.

0 ulasan

Berita Harian Online | 7 amanat Najib

7 amanat Najib


2010/10/24
Pesanan Presiden UMNO untuk pertahan kuasa orang Melayu

1- Utamakan maruah dan kepentingan parti daripada kepentingan diri

2- Pentingkan pasukan bukan kumpulan sendiri

3- Tawan pemikiran, hati dan jiwa rakyat

4- Mahir teknologi maklumat dengan menguasai media baru

5- Tumpu empat juta pengundi baru menjelang pilihan raya akan datang

6- UMNO mesti menuju sifar masalah

7- Dahulukan rakyat dalam sebarang tindakan


KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, menggariskan tujuh elemen bertema ‘Mendahulukan Rakyat’ sebagai asas pengisian dalam Model Transformasi UMNO untuk persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 serta memastikan kuasa orang Melayu terus dipertahankan.

Pertama, kata Perdana Menteri, ahli dan pemimpin UMNO pada semua peringkat mesti menentukan maruah dan kepentingan parti lebih besar daripada kepentingan diri dengan memberi contoh Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed, yang menerima pelantikan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengarah Pilihanraya Kecil Dewan Undangan Negeri Galas.

Dalam ucapan penggulungan pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO Ke-61, semalam, Najib berkata, elemen kedua ialah mengamalkan sikap mementingkan pasukan dan bukan kumpulan sendiri seperti enggan membantu parti apabila tidak dicalon pada pilihan raya.

Elemen lain ialah:

Ahli dan pemimpin UMNO perlu memenangi pemikiran, hati dan jiwa rakyat supaya parti dilihat inklusif.

Mahir teknologi dengan menguasai media baru,
terutama laman sosial seperti Facebook dan Twitter.

Memberi tumpuan kepada empat juta pengundi baru menjelang pilihan raya umum akan datang.

UMNO mesti menuju sifar masalah, termasuk mengelakkan pertelagahan pada peringkat bahagian; dan

Amalan mendahulukan rakyat dalam sebarang tindakan.

Najib berkata, tujuh elemen itu yang sebahagiannya diambil daripada pandangan perwakilan ketika perbahasan, berupaya menjadikan UMNO parti yang inklusif dan mendahulukan kepentingan rakyat.

“UMNO perlu kuat kerana orang Melayu dan negara tidak boleh mengharapkan pihak lain,” katanya sambil menegaskan kemenangan UMNO juga berpaksikan kepada empat tonggak utama, iaitu penerimaan rakyat terhadap pimpinan nasional dan hala tujunya, kepemimpinan peringkat negeri diterima ahli, sama ada parti diterima oleh rakyat dan meletakkan calon yang mampu menang dalam pilihan raya.

Perdana Menteri turut mengingatkan orang Melayu jangan terkeliru dengan dakyah pembangkang kononnya orang lain juga boleh mempertahankan Perlembagaan, walaupun UMNO dan Melayu kehilangan kuasa politik.

“Saya tak nampak Raja-Raja Melayu akan pinda Perlembagaan ini. Namun ada pihak, kumpulan yang pakar pusing (mengelirukan rakyat) berkata, jika Perlembagaan (hak istimewa orang Melayu) sudah terkunci dan tersimpul mati, tak perlu UMNO berkuasa sebab orang lain boleh pertahankannya,” katanya.

0 ulasan

Berita Harian Online | Kaedah baru ajar Sejarah

 

Kaedah baru ajar Sejarah
Oleh Syuhada Choo Abdullah dan Badrul Hizar Ab Jabar
bhnews@bharian.com.my
2010/10/25
Drama, lawatan elemen pembelajaran diperkenal 2014 elak murid bosan

AYER KEROH: Sejarah yang menjadi mata pelajaran teras dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) mulai 2014 akan menerapkan unsur kewarganegaraan, patriotisme dan perlembagaan bagi memastikan murid memahami serta menghayati sejarah negara secara mendalam.
 
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata pengenalan mata pelajaran Sejarah akan menggunakan konsep ‘pendidikan itu menyeronokkan’ membabitkan pendekatan seperti kuiz, lawatan ke tempat bersejarah, forum, perbahasan, lakonan dan drama.
Katanya, semua aspek yang akan digunakan itu amat sesuai bagi mengelakkan murid sekolah rendah bosan ketika menghadapi pelajaran serta dapat meningkatkan tahap pembelajaran di sekolah.

“Kementerian akan memastikan mata pelajaran Sejarah tidak diajar sehingga membosankan murid dan oleh sebab itulah pendekatan kerja sampingan seperti kuiz, lawatan ke tempat bersejarah, forum, perbahasan, lakonan dan drama diperkenalkan.

“Elemen sejarah yang diajar melalui subjek Kajian Tempatan di sekolah rendah pada ketika ini kurang menerapkan ketiga-tiga unsur terbabit. Jadi, kita mahu menekankan perkara ini supaya mata pelajaran Sejarah dapat dihayati dan difahami oleh semua golongan masyarakat, terutama generasi muda,” katanya selepas menutup Persidangan Perwakilan Dwi Tahunan Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) Ke-22 di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Yaakub Md Amin, dan Presiden KGMMB, Mohamed Sabri Mohd Arsad.
Mengulas lanjut, Mohd Puad berkata, mata pelajaran Sejarah perlu untuk meningkatkan semangat patriotisme di kalangan anak bangsa, selain memastikan mereka memahami asal usul supaya menghormati Perlembagaan Persekutuan apabila dewasa kelak.

“Keputusan yang dibuat oleh kerajaan ini adalah berasaskan kepada kehendak rakyat sendiri yang melihat aspek sejarah itu amat penting.

“Pembelajaran mata pelajaran itu dari awal pasti memberi impak positif yang memudahkan setiap rakyat menerima diri masing-masing atas paksi di bumi nyata. Pendidikan sejarah amat penting dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum,” katanya.

Sementara itu menjelaskan lanjut berhubung pelaksanaan Sejarah bagai mata pelajaran teras dalam KSSR, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, selain Perlembagaan, murid juga akan didedahkan kepada peristiwa penting tanah air seperti kemerdekaan, mengenali tokoh tempatan dan latar belakang masyarakat di negara ini menerusi mata pelajaran itu.

“Bagaimanapun, kurikulum subjek ini di sekolah rendah akan lebih menjurus kepada sukatan asas serta mudah, dan bukan fakta berat seperti pada peringkat sekolah menengah.

“Kementerian akan membuat penyusunan supaya tidak berlaku pertindihan kurikulum antara mata pelajaran Sejarah dan Kajian Tempatan kelak. Namun, penentuan sama ada mata pelajaran teras ini dilaksanakan mulai Tahun Satu atau Tahun Empat masih dalam perbincangan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Alimuddin berkata, langkah melaksanakan Sejarah sebagai mata pelajaran teras di sekolah rendah juga akan membantu persediaan murid selari keputusan Kementerian Pelajaran untuk menjadikannya subjek wajib lulus bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013.

Dalam konteks ini, beliau berkata, persediaan akan dilakukan untuk membantu guru melaksanakan strategi pengajaran dan pembelajaran lebih menarik supaya pelajar mampu menghayati serta menguasai subjek teras itu dengan berkesan bagi menghadapi peperiksaan SPM.

Keputusan itu (wajib lulus Sejarah dalam SPM) bukan semata-mata disebabkan timbulnya pelbagai isu (berkaitan) kebelakangan ini, tetapi kerana pengetahuan Sejarah amat penting untuk melahirkan warga bertanggungjawab, ada jati diri dan bersatu padu,” katanya.

0 ulasan

Berita Harian Online | Impak transformasi

Impak transformasi
Oleh Norfatimah Ahmad, Azli Ayob, Ahmad Farizal Hajat dan Zanariah Abd Mutalib
bhnews@bharian.com.my
2010/10/26

image

PERDANA Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak bergambar bersama buku Program Transformasi Ekonomi (ETP) pada majlis pelanacaran buku itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam. - Foto Bernama

Program Transformasi Ekonomi mula tunjuk hasil positif: Najib

RM426 bilion - hasil Pendapatan Negara Kasar (PNK) tambahan daripada 131 EPP 
RM346 bilion - tambahan PNK daripada 60 peluang perniagaan
RM1.6 trilion - pertumbuhan keseluruhan PNK
3.3 juta - peluang pekerjaan diwujudkan

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak semalam melancarkan Pelan Hala Tuju Program Transformasi Ekonomi (ETP) mengandungi 131 projek permulaan (EPP) yang bakal menghasilkan Pendapatan Negara Kasar (PNK) tambahan sebanyak RM426 bilion dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Program bertujuan mengubah ekonomi Malaysia kepada negara maju berpendapatan tinggi itu turut mengandungi 60 peluang perniagaan yang akan menghasilkan lagi PNK tambahan sebanyak RM346 bilion.

Semua projek itu bakal mewujudkan 3.3 juta peluang pekerjaan baru dengan 63 peratus berada dalam segmen pendapatan sederhana dan tinggi, berbanding 43 peratus sedia ada.
Malah, ETP mula menunjukkan hasil positif dengan hampir 45 peratus daripada pelaburan sebanyak RM299 bilion yang diwakili 53 EPP, kini di peringkat perbincangan aktif. Daripada jumlah itu, perjanjian bagi sembilan EPP membabitkan pelaburan lebih RM30 bilion ditandatangani pada majlis itu, semalam.

Dalam ucapannya, Najib menjelaskan projek EPP itu dibangunkan berteraskan 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang dikenal pasti berpotensi menyumbang secara langsung kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.

NKEA yang terpilih ialah Minyak, Gas dan Tenaga; Minyak Sawit; Perkhidmatan Kewangan;

Pelancongan; Perkhidmatan Perniagaan; Elektrik dan Elektronik; Pemborongan dan Peruncitan; Pendidikan; Penjagaan Kesihatan; Kandungan Komunikasi dan Infrastruktur; Pertanian dan Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang.

Digabungkan dengan pertumbuhan organik dari kedua-dua NKEA dan bukan NKEA, jumlah keseluruhan PNK pada 2020 dianggar mencapai AS$523 bilion (RM1.6 trilion).

Perdana Menteri berkata, secara keseluruhan semua 131 EPP itu dirancang merentasi seluruh pelusuk negara dengan 106 projek akan memanfaatkan masyarakat bandar dan 25 lagi memberi faedah terus kepada masyarakat luar bandar.

Beliau berkata, khusus kepada masyarakat luar bandar, EPP itu dijangka mewujudkan 323,596 pekerjaan baru pada 2020, selain memberi manfaat kepada pemilik Tanah Adat Pribumi, khususnya di Sarawak dan Sabah serta golongan wanita.

“Kesan hasil pembangunan itu kelak akan dinikmati setiap rakyat Malaysia, tanpa sesiapa pun yang tercicir daripada arus pencapaian ekonomi negara,” katanya.

Najib turut memberi enam contoh utama EPP yang akan memberi impak positif kepada rakyat serta ekonomi negara.

Ia merangkumi Program Tukar atau Transformasi Kedai Runcit di bawah NKEA Pemborongan atau Peruncitan yang akan memodenkan serta membantu 50,000 peruncit kecil untuk meningkatkan daya saing mereka dalam era peruncitan moden.

Kesan kepada PNK pada 2020 daripada pelaksanaan projek itu dianggarkan sebanyak RM5.5 bilion dan akan mewujudkan kira-kira 50,000 peluang pekerjaan.

Di bawah NKEA Pertanian, Projek Zon Akuakultur Berintergrasi dengan saiz minimum 1,000 hektar untuk mengeluarkan produk akuakultur premium bermutu bagi pasaran eksport akan dilaksanakan di beberapa lokasi pada skala besar, seperti di Pitas, Sungai Telaga dan Sungai Padas di Sabah serta Batang Air dan Tanjung Manis di Sarawak.

Impak kepada PNK daripada projek itu dianggar sebanyak RM1.2 bilion dan akan mewujudkan 11,890 peluang pekerjaan.

Bagi membangunkan pelancongan kesihatan, 35 hospital sedia ada di kenal pasti di bawah NKEA Kesihatan dengan kesan kepada PNK pada 2020 dianggar sebanyak RM4.2 bilion dan akan mewujudkan 5,295 peluang pekerjaan.

Najib berkata, bagi mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan berunsur Asia yang menarik, sebuah pusat Malaysia Truly Asia akan diwujudkan di Kuala Lumpur bagi menempatkan kebudayaan dan hiburan terbaik Malaysia.

“Ini adalah sebahagian daripada NKEA Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang. Kesan kepada PNK pada 2020 dianggar sebanyak RM233 juta dan akan mewujudkan 1,700 peluang pekerjaan,” katanya.

NKEA itu turut membabitkan pembangunan projek MRT menghubungkan pelbagai tempat di Lembah Klang akan memberi kesan berganda kepada ekonomi di kawasan terbabit, selain menjadikan Kuala Lumpur bandar raya paling selesa.

Najib berkata, langkah menambah baik pengangkutan awam bandar itu akan memberi kesan sebanyak RM21.2 bilion kepada PNK dan mewujudkan 20,000 peluang pekerjaan baru.

Di bawah NKEA Pendidikan pula, sebuah pusat pendidikan berintegrasi penuh seluas 122 hektar mengandungi universiti, institusi penyelidikan dan pembangunan serta kemudahan pendidikan lain akan memberi rangsangan seterusnya kepada inisiatif Educity@Iskandar.

“Impak kepada PNK pada 2020 dianggar sebanyak RM1.1 bilion dan mewujudkan 1,164 peluang pekerjaan,” katanya.

0 ulasan

Selasa, 26 Oktober 2010

in harmony with nature

edamariati@Broga Hill

1 ulasan

Sabtu, 23 Oktober 2010

aku yang di sini…

Sabtu, 23 Oktober 2010, 10.26 mlm.

Masih di tempat kerja menyiapkan laporan kajian impak PS. Terlalu memenatkan…

Minta maaf pada sahabat-sahabat dan adik-adik kerana tidak dapat meluangkan waktu. Insya’Allah, jika ada kelapangan, kita pergi jalan-jalan ya! Smile

0 ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...