Rabu, 31 Mac 2010

bharian: Tinggal perkara meragukan

(Sumber dari Berita Harian, 2010/03/31)

RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud: “Tinggalkan apa yang membimbangkan kamu kepada apa yang tidak membimbangkan kamu.” Hadis ini hadis hasan sahih yang bermaksud: “Tinggalkan perkara yang engkau ragu dan ambillah perkara yang engkau tidak ragu.” (Hadis riwayat At-Tarmizi)

Nabi melarang umatnya melakukan atau terbabit dalam perkara yang hukumnya tidak jelas sama ada halal atau haram. Melakukan perkara diragui boleh menyebabkan seseorang itu terjebak dalam kancah dosa.


Banyak perkara yang membimbangkan dan meragukan dalam dunia ini, oleh itu jauhilah atau tinggalkanlah perkara yang tidak mendatangkan faedah serta merugikan. Pilihlah perkara mendatangkan kebaikan demi kebahagiaan dunia dan akhirat.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
0 ulasan

Peguam Syarie Menulis: Kahwin lari undang penderitaan

(Sumber dari Berita Harian, 2010/03/31)

Oleh Mohamad Isa Ab Ralip

Pasangan kekasih perlu buat pertimbangan sebelum bernikah


BARU-BARU ini Pergerakan Puteri Umno menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) membekukan pengambilan pekerja asing dari Lombok, Indonesia berikutan trend kahwin lari membabitkan gadis tempatan dengan lelaki dari wilayah terbabit semakin membimbangkan kini.

Puteri Umno memperoleh maklumat mendakwa kira-kira 500 wanita Malaysia berada di Lombok sekarang ini, akibat terjerat ikatan perkahwinan dengan lelaki dari wilayah berkenaan ketika mereka bekerja di negara ini.



Isu sama ada perangkaan itu sahih atau tidak bukan menjadi soal. Isunya kesan buruk atau impak perkahwinan seperti ini harus dikaji dengan lebih teliti kerana ia mungkin memberi banyak kemudaratan daripada kebaikan terutama kepada anak gadis kita ini.

Dikatakan gadis Malaysia, berusia 13 hingga 30 tahun sanggup meninggalkan keluarga masing-masing gara-gara berkahwin dengan lelaki Lombok dan terpaksa mengharungi penderitaan sepanjang berada di negara orang.

Perkahwinan di antara anak gadis negara kita dengan lelaki dari Lombok dikaitkan dengan percintaan. Benarlah kata pepatah ‘cinta itu buta’ kerana ia memang dapat membutakan mata hati dan fikiran manusia tanpa memikirkan kesan atau impak perkahwinan secara mendalam.

Satu impaknya ialah pernikahan di Lombok dikaitkan dengan trend kahwin lari. Ini bermaksud kahwin lari tanpa mendapat restu keluarga terutama wali. Harus diingat wali adalah elemen penting dalam pernikahan.

Trend pernikahan ini yang membabitkan perwalian dan wali tidak hadir di dalam pernikahan. Jika tiada wali bagaimana dengan kesahihan pernikahan itu? Siapakah wali kepada gadis-gadis berkenaan? Adakah wali hakim? Sekiranya wali hakim, adakah wali itu mempunyai kuasa mewalikan secara wali hakim atau mempunyai tauliah sebagai wali hakim.

Asasnya, sesuatu pernikahan itu boleh dilakukan di mana-mana tempat yang dipilih pasangan asalkan pernikahan mereka memenuhi rukun nikah dan syaratnya. Bagaimanapun, bagi memastikan pernikahan itu diakui, kebenaran melangsungkan pernikahan hendaklah diperoleh terlebih dulu mengikut proses undang-undang.



Pernikahan luar negara mempunyai kesan iaitu memungkinkan pasangan dipisahkan jika pernikahan itu tidak sah dan pasangan dikenakan denda atau penjara, serta sukar mendapat hak suami atau isteri. Lantaran itu setiap pasangan yang bercadang mengambil jalan pintas dalam menyelesaikan masalah, sepatutnya memikirkan kesan pernikahan itu secara mendalam sebelum tindakan nekad diambil, bagi mengurangkan masalah lain yang mungkin timbul kelak.

Perkara ini tidak wajar dipandang ringan kerana ia memberi impak kepada pengesahan pernikahan. Itu dari sudut pengesahan dan pastinya dari sudut perundangan pula ia berlawanan dengan peruntukan undang-undang negara kita.
Pernikahan di luar negara tanpa kebenaran menjadi kesalahan mengikut Akta/Enakmen Keluarga Islam melainkan perkahwinan dijalankan mengikut lunas undang-undang ditetapkan. Antara kesan perkahwinan dilakukan tanpa kebenaran mahkamah adalah perkahwinan itu tidak boleh didaftarkan.

Tujuan pendaftaran bukan sekadar satu formaliti bagi mendapatkan sijil nikah, ia adalah rekod yang mensahihkan perkahwinan itu bukan saja menurut undang-undang negeri malah menepati hukum syarak.

Selain itu, perkahwinan yang tidak didaftarkan adalah tidak sah dari segi undang-undang. Ia bermaksud pihak perempuan tidak akan mempunyai hak sebagai isteri dan tidak boleh membuat sebarang tuntutan di Mahkamah Syariah.

Pihak perempuan tidak akan dibenarkan menuntut nafkah, hak penjagaan atau nafkah anak dan lain-lain tuntutan sehingga perkahwinan didaftarkan. Proses pendaftaran bukanlah perkara yang mudah terutama sekiranya ia dilakukan di luar negara, tanpa wali hadir atau tanpa saksi yang dikenali atau suami enggan bekerjasama.

Sekiranya mempunyai anak kelak tanpa sijil nikah yang sah, ia akan menyukarkan proses pendaftaran kelahiran dan lain-lain proses yang memerlukan kesahihan bahawa suami adalah bapa.

Perkahwinan di luar negara atau negeri bukanlah suatu perkara yang boleh dianggap ringan. Ramai tentu tahu mengenai perkahwinan sindiket oleh kadi tidak bertauliah dan menyebabkan perkahwinan tidak sah. Perkara ini bukan saja kerana pasangan tidak berhati-hati malah kerana berlaku penipuan.

Perkahwinan adalah tanggungjawab dan setiap pasangan harus memikul dengan sebaiknya, bukannya berlandaskan hawa nafsu semata-mata. Peraturan dan undang-undang bukan bertujuan menyusahkan atau membebankan, sebaliknya sebagai langkah pencegahan daripada berlakunya kemudaratan yang lebih berat.

Kita tidak mahu mendengar cerita anak diabaikan nafkahnya, isteri yang tidak boleh menuntut harta atau pusaka arwah suami, serta anak dilahirkan tanpa berbinkan atau berbintikan ayah kandungnya.

Kesimpulannya, perkahwinan yang hanya berlandaskan cinta semata-mata tidak wajar dijadikan trend kerana perkahwinan itu suci, diselubungi dengan tanggungjawab dan amanah Allah.

Kita tidak mahu ramai anak gadis mengorbankan masa depan mereka dan anak-anak yang bakal lahir termasuk menyebabkan ibu muda terpaksa membesarkan anak bersendirian apabila dibawa pulang ke tanah air kelak.

Lebih malang sekiranya pernikahan terbabit tidak sah dari segi hukum syarak mahupun berlawanan dengan undang-undang. Justeru, jika inilah impak perkahwinan di Lombok, maka saranan Puteri Umno yang mahu KDN membekukan pengambilan pekerja asing dari Lombok sangat wajar dan perlu diberi perhatian.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) 0 ulasan

bharian: Sistem perbankan tempatan berjaya harungi krisis global

(Sumber dari Berita Harian, 2010/03/24)
SISTEM perbankan tempatan terbukti berjaya mengharungi krisis kewangan global malah kini berada dalam kedudukan lebih kukuh berbanding bank beberapa negara serantau, kata RAM Rating Services Bhd.

Mengikut agensi penarafan itu, bank di negara ini bukan saja akan meningkatkan lagi mutu aset tahun ini, malah bakal mencatat keuntungan lebih tinggi, mempunyai mudah tunai mencukupi dan modal yang kukuh.

Rumusan itu dibuat agensi penarafan itu berdasarkan kaji selidik mengenai daya tahan bank tempatan dengan menggunakan bank-bank di Jepun, Singapura, Korea Selatan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Indonesia dan Thailand sebagai perbandingan.



Ketua Penarafan Institusi Kewangan, RAM Ratings, Promod Dass, berkata pihaknya turut menjangkakan bank tempatan tahun ini akan mencatat kadar pertumbuhan antara lapan peratus hingga 10 peratus, serta menyaksikan lebih banyak penggabungan dan pengambilalihan (M&A).

Katanya, M&A pada peringkat serantau akan berlaku apabila bank tempatan mencari peluang pasaran di luar negara, seperti berlaku beberapa tahun lalu, manakala penggabungan pusingan kedua dalam negara juga dijangka berlaku tahun ini, susulan persaingan semakin sengit.

“Tidak seperti proses penggabungan terdahulu yang digerakkan oleh kerajaan, pusingan penggabungan kali ini akan dipacu faktor pasaran apabila bank cuba mengukuhkan kedudukan masing-masing.

“Proses M&A itu akan membabitkan penggabungan sesama bank tempatan dan antara bank negara ini dengan bank asing,” katanya pada sidang media sempena pelancaran laporan RAM Banking Bulletin di Kuala Lumpur, semalam.
Dass menambah, dasar monetori bersesuaian dan tepat serta langkah berjaga-jaga Bank Negara Malaysia berjaya melindungi sistem perbankan tempatan mengharungi krisis kewangan global.

“Bank negara ini juga mendapat manfaat daripada langkah pembaharuan sektor kewangan yang diguna pakai beberapa tahun lalu,” katanya. 0 ulasan

bharian: Ke manakah tujuan kita?

(Sumber dari Berita Harian, 2010/03/31)
MATLAMAT utama Model Ekonomi Baru (MEB) adalah menjadikan Malaysia negara maju berpendapatan tinggi dengan ciri keterangkuman dan kebolehmampanan menjelang 2020.

Pencapaian satu-satu matlamat tidak seharusnya menjejaskan yang lain. Dalam usaha gigih mencapai matlamat itu, kita tidak boleh mengambil jalan pintas dengan berbelanja lebih menggunakan kekayaan sumber asli yang sememangnya tidak kekal.

Kita juga tidak boleh menyerahkan sepenuhnya kepada kuasa pasaran dan mengabaikan keperluan memelihara keharmonian sosial. Selepas mencapai status negara maju, usaha perlu diteruskan untuk mengekalkan kedudukan itu meskipun selepas 2020.



Melonjak ke arah status berpendapatan tinggi

Pelaksanaan penuh dan mampan bagi pembaharuan yang disarankan Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN) akan mendorong transformasi Malaysia ke arah ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020.

MPEN menjangka pembaharuan yang berani akan menambahgiat pelaburan, mendorong produktiviti buruh dan merangsang kecekapan, lalu menaikkan kadar pertumbuhan benar kepada purata 6.5 peratus setahun dalam tempoh 2011-2020.

Keluaran Negara Kasar (KNK) per kapita akan meningkat kepada kira-kira AS$17,700 menjelang 2020.

Senario ini mengandaikan tidak berlakunya satu lagi krisis ekonomi besar pada peringkat global yang boleh menggelincirkan ekonomi Malaysia keluar daripada landasan pertumbuhan ini.

Jika sasaran pertumbuhan KDNK hendak dicapai, maka permintaan agregat juga perlu tumbuh pada kadar yang bertenaga.

Pelaburan akan menjadi pendorong utama pertumbuhan ekonomi melepasi 2020. Sumbangan daripada pelaburan swasta mesti kembali ke paras bermakna seperti yang dicapai pada 1997, iaitu mencecah hampir satu per lima daripada KDNK menjelang 2020 berbanding kira-kira satu per sepuluh pada 2010.

Pertumbuhan mampan juga akan disokong hemat fiskal. MEB mahukan defisit fiskal dikurangkan lagi ke paras hampir seimbang menjelang 2020.

Defisit fiskal Kerajaan Persekutuan, iaitu kira-kira 7.4 peratus daripada KDNK, mencecah paras puncak pada 2009 dan dijangka menurun kepada 5.6 peratus daripada KDNK pada 2010.
Sentimen pasaran akan bertambah baik lagi jika defisit fiskal ini dikurangkan lagi.



Menjanakan manfaat untuk semua rakyat

Keterangkuman adalah matlamat kedua dan adalah komponen utama MEB. Ini menjadi prasyarat untuk memupuk perasaan kekitaan.

Pertumbuhan yang menyokong golongan miskin akan memastikan tiada kumpulan yang akan dipinggirkan dan keperluan asas rakyat akan dipenuhi.

Keluarga akan diberi peluang dan keupayaan memburu impian mereka di bandar, pekan dan kampung yang moden, canggih dan mudah hubung.

Mereka akan tinggal, bekerja dan belajar di tempat yang bebas daripada berasa bimbang terhadap jenayah, penghinaan diskriminasi dan kekurangan keperluan.

Keterangkuman akan membolehkan semua komuniti menyumbang dan berkongsi kekayaan negara.

Walaupun kesaksamaan sempurna itu mustahil dicapai, namun masyarakat yang terangkum akan memastikan masalah ketidaksamaan ini tidak akan menjadi lebih buruk.

Masyarakat yang berpecah dari segi etnik lebih cenderung mencetuskan konflik ganas.

Komposisi penduduk Malaysia yang berbilang bangsa masih satu ciri unggulnya dan kepelbagaian etnik ini akan kekal bersama kita.

Namun, tumpuan berlebihan pada pengagihan sumber berasaskan etnik akan menimbulkan jurang keterpisahan dan pertelingkahan yang semakin buruk.

Cabaran utama pertumbuhan terangkum ialah pembentukan langkah berkesan yang mencapai keseimbangan antara kedudukan istimewa Bumiputera dengan kepentingan sah kumpulan yang lain.

Justeru, program tindakan afirmatif mesra pasaran yang seiring dengan prinsip keterangkuman akan:

# Menyasarkan bantuan kepada isi rumah dalam kumpulan 40 peratus terendah yang 77.2 peratus ialah Bumiputera dan ramai yang berada di Sabah dan Sarawak.

# Memastikan peluang yang saksama dan adil melalui proses yang telus.

# Menyediakan akses kepada sumber berasaskan keperluan dan merit bagi menambahbaik keupayaan, pendapatan dan kesejahteraan.

# Mempunyai rangka kerja institusi mantap demi pemantauan lebih baik dan pelaksanaan yang berkesan.

Program tindakan afirmatif yang telus dan mesra pasaran adalah bertumpu pada pembinaan keupayaan dan kemampuan isi rumah berpendapatan rendah dan perniagaan kecil, bukannya memenuhi syarat dalam mencapai kuota atau sasaran tertentu.

Program Transformasi Ekonomi (PTE) akan mewujudkan mekanisme untuk mengukuhkan keupayaan isi rumah dalam kumpulan 40 peratus terendah supaya mereka dapat mengambil kesempatan daripada peluang yang ada untuk mendapatkan pekerjaan lebih baik, meningkatkan produktiviti dan menambah pendapatan.

Kumpulan ini akan dibantu dengan program membina kemahiran supaya dapat menggunakan naluri keusahawanan bagi memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka.

Ini akan menambahbaikkan taraf, peluang dan prospek kehidupan mereka.

Amalan dulu yang membiakkan aktiviti merentir (rent-seeking) dan kuasa naungan (patronage) yang tidak sihat serta menular akan dihentikan.



Penyelesaian yang mampu bertahan lama dari segi ekonomi dan alam sekitar


Komponen kebolehmapanan dalam MEB bertujuan memastikan semua langkah saranan yang diutarakan di bawah model baru itu mestilah mapan dari segi ekonomi dan alam sekitar.

Kebergantungan Malaysia pada penggunaan sumber asli sebagai jentera utama pertumbuhan ternyata tidak mampan dalam kedua-dua aspek berkenaan.

Ini tidak bermaksud mencadangkan penggunaan sumber asli tidak harus menjadi komponen utama pengeluaran negara.

Namun, ini bererti di bawah model baru, keputusan pelaburan dan dasar hanya akan dibuat selepas menimbangkan semua impak jangka panjang terhadap masyarakat, ekonomi dan alam sekitar.

Kebolehmampanan ekonomi akan dipastikan menerusi pembentukan disiplin fiskal yang diperlukan bagi melindungi keseimbangan makroekonomi dan kestabilan kewangan.

Pembaharuan sektor awam adalah komponen penting bagi kebolehmampanan fiskal jangka panjang dan menjadi komponen utama MEB.

Pembaharuan perkhidmatan awam yang berterusan, termasuk peningkatan kemahiran dan latihan semula kakitangan akan menjadi kunci kepada peningkatan kecekapan perkhidmatan awam dan menjadikannya lebih fokus pelanggan.

Kebolehmampanan alam sekitar akan dicapai dengan menolak pendekatan tradisional terhadap pertumbuhan ekonomi yang terlampau mengabaikan alam sekitar.

Sungguhpun sudah wujud sedikit keprihatinan mengenai alam sekitar, namun dasar lalu bertumpu kepada isu penyampaian pertumbuhan yang kemudian diikuti oleh langkah menangani isu alam sekitar.

Pada masa depan, penekanan sama mesti diberikan kepada soal perlindungan alam sekitar dan pertumbuhan ekonomi.

Pengukuran KDNK konvensional bagi pertumbuhan ekonomi tidak mengambil kira kos terhadap masyarakat yang timbul akibat kemerosotan alam sekitar.

Perkembangan terbaru konsep ‘KDNK Hijau’ akan memungkinkan pertimbangan wajar diberikan mengenai impak pertumbuhan terhadap alam sekitar dan pembentukan langkah sesuai bagi menangani masalah alam sekitar.

MEB berusaha mewujudkan pertumbuhan mampan yang memenuhi keperluan berterusan penduduk tanpa menjejaskan generasi akan datang menerusi pengawasan dan pemuliharaan berkesan alam semula jadi dan sumber mudah lupus.

Pendekatan baru ini sangat relevan dengan pengurusan air serta sumber minyak dan gas.

Penerima manfaat mutlak: Rakyat dan perniagaan

MPEN menjangkakan suatu siri manfaat yang akan sampai kepada semua rakyat jika langkah dasar MEB dilaksanakan dengan konsisten dan sepenuhnya. Bagaimanapun, kita mesti menyedari penyampaian pelbagai manfaat ini memerlukan masa.

Sementara itu, beberapa segmen penduduk mungkin melihat impak negatif lebih daripada manfaat ataupun mereka mendapat manfaat yang kurang berbanding orang lain.

Kerajaan mesti berupaya menyampaikan kesaksamaan hakiki manfaat ini pada kemudian hari, menggesa komitmen diberikan kepada proses dan mewujudkan visi kebaikan bersama jangka panjang.

Disebabkan keperluan terhadap ketepatan masa dan urutan tindakan dasar yang betul, PTE akan menyediakan jaring keselamatan lebih baik dan dana transformasi untuk melindungi pelbagai komuniti ketika tempoh peralihan sebelum manfaat direalisasikan sepenuhnya.

Orang ramai perlu lebih memahami penyelarasan dan perubahan secara teratur diperlukan jika mahu melihat matlamat MEB tercapai.

Manfaat bagi perniagaan akan diperoleh daripada kesaksamaan alam sekitar lebih baik, ekosistem lebih berkesan dan pasaran lebih cekap bagi memudahkan pelaburan dan operasi.

Ciri Teras MEB

Bagaimanakah keadaan Malaysia pada 2020? Pada masa depan, MEB akan melahirkan Malaysia yang terkenal dengan transformasi kukuh, hasil kepintaran rakyatnya yang ditunjukkan kepelbagaiannya yang harmoni dan tradisi budayanya yang kaya.

Ekonominya kelak adalah berpandukan pasaran, ditadbir urus dengan rapi, berintegrasi serantau, berorientasikan keusahawanan dan inovatif.
 
Sektor swasta akan menjadi penggerak utama pertumbuhan dalam pelaburan berpandukan pasaran dan pengeluaran semakin dikuasai oleh barangan dan perkhidmatan yang mempunyai nilai tambah yang tinggi dalam persekitaran yang bersaingan.

Kerajaan akan menjadi fasilitator yang cekap menerusi rangka kerja kawal selia yang rapi, seimbang, fokus pasaran dan membantu pasaran.

Kerajaan akan terus berperanan menangani gangguan daripada kegagalan pasaran yang tidak dapat dielakkan.

Institusi kerajaan dengan tadbir urus rapi dan lebih cekap dipertanggungjawabkan terhadap hasil berasaskan pencapaian selaras dengan PTK dan memiliki kakitangan berkelayakan tinggi dengan keupayaan melaksanakan pelbagai tugas dan pada masa sama, mempamerkan fleksibiliti serta dinamisme.

Firma swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat sivil akan menaruh hasrat untuk mencapai standard tadbir urus yang diterima pakai pada peringkat antarabangsa.

MEB akan menyediakan rangka kerja dan persekitaran untuk melahirkan semangat keusahawanan bagi memanfaatkan sebaik-baiknya peluang pertumbuhan daripada pembiayaan yang tersedia.

Inovasi dan teknologi terkini akan menjanakan produk, perkhidmatan dan proses kreatif yang memiliki nilai tambah yang tinggi dalam arena teknikal, sosial dan institusi.

Semua ini akan menyumbang kepada perluasan pasaran melalui integrasi serantau dalam perdagangan dan perkhidmatan serta melalui pembentukan rantaian penawaran dan rangkaian pengeluaran rentas sempadan. 



0 ulasan

bharian: Unit Penyampai Ekonomi terajui proses NKEA mulai Jun

(Sumber dari Berita Harian, 2010/03/31)
KUALA LUMPUR: Unit Penyampai Ekonomi (EPE) akan ditubuhkan selaras dengan pengumuman Rancangan Malaysia Ke-10 untuk menerajui proses perubahan dalam pelaksanaan Aktiviti Utama Ekonomi Nasional (NKEA) pada Jun ini, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, NKEA adalah bidang yang akan dikenal pasti sebagai berpotensi memberi kelebihan kepada ekonomi negara untuk terus berkembang mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

“Selaras dengan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), saya komited mengadakan proses rundingan menyeluruh dengan semua pemegang kepentingan untuk memastikan NKEA dipilih berdasarkan kepentingan negara.



“Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN) akan bekerjasama dengan Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu) bagi membangunkan NKEA,” katanya.

Najib berkata, MEB adalah tunjang penting kepada Malaysia yang sedang dibentuk dan disusun untuk manfaat rakyat Malaysia pada masa akan datang.

Selain itu, Najib berkata, kerjasama awam-swasta perlu dirangsang bagi mewujudkan hubungan yang strategik dan teguh, dipacu pasaran yang berasaskan permintaan.

Sehubungan itu, katanya, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang menguasai pasaran ekuiti dan bon tempatan sehingga 50 peratus daripada jumlah dagangan di pasaran saham dibenarkan untuk melabur lebih banyak aset di luar negara.

Kerajaan akan bekerjasama dengan KWSP untuk membangunkan kawasan seluas 3,000 ekar di Sungai Buloh sebagai hub baru Lembah Klang yang bernilai RM5 bilion.

Lembaga Kemajuan Industri Malaysia (Mida) pula akan dikorporatkan untuk memberikannya lebih fleksibiliti untuk menarik dan mengekalkan tenaga kerja serta bakat diperlukan.

Mida akan dijenamakan semula sebagai Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia untuk membolehkan ia meluluskan insentif secara secara terus dan bertindak pantas menjalin hubungan dengan pelabur. 0 ulasan

bharian: MEB tumpu pekerja miliki pelbagai kemahiran: Najib

(Sumber dari Berita Harian, 2010/03/31)
Oleh Kamarulzaidi Kamis
kamarulzaidi@bharian.com.my

Buruh asing murah berlebihan sekat pertumbuhan jangka panjang

KUALA LUMPUR: Model Ekonomi Baru (MEB) memberi penekanan terhadap mengurangkan kebergantungan tenaga buruh asing tidak berkemahiran, sebaliknya memberi tumpuan kepada pekerja pelbagai kemahiran yang boleh meningkatkan produktiviti.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, berkata pergantungan berlebihan Malaysia kepada tenaga buruh asing murah bertentangan dengan sasaran nasional bagi mencapai ekonomi berpendapatan tinggi dan pertumbuhan jangka panjang.

“Bilangan pekerja asing meningkat disebabkan banyak syarikat terlalu memikirkan untuk mengurangkan kos bagi mengejar keuntungan jangka pendek.

“Dasar kerajaan perlu bergerak memperbetulkan penggunaan tenaga kerja asing secara berlebihan dalam bentuk yang boleh meningkatkan objektif pertumbuhan jangka panjang daripada memuaskan pertimbangan kos jangka pendek syarikat," katanya ketika mengumumkan MEB pada Persidangan Invest Malaysia 2010, di sini semalam.

Sehubungan itu, MEB mencadangkan dua pembaharuan, iaitu menguatkuasakan peraturan kerja setara bagi tenaga kerja asing dan tempatan serta menggunakan satu sistem levi bagi tenaga kerja asing yang tidak berkemahiran mengikut keperluan sektor tertentu.

Pembaharuan itu juga akan menangani kebimbangan masyarakat antarabangsa berhubung layanan buruk terhadap tenaga kerja asing.

"Sistem levi yang lebih rasional dan penggunaan hasil daripadanya untuk membiayai perkhidmatan sosial bagi pekerja asing akan mengatasi kebimbangan berhubung kesaksamaan. Sebagai tambahan, dana itu akan digunakan bagi membiayai program yang boleh memacu amalan inovatif di kalangan firma Malaysia yang akan mengukuhkan tekanan bagi meningkatkan rangkaian nilai," katanya.

Laporan MEB juga merujuk kepada laporan Bank Dunia mengenai peningkatan dan lebihan bilangan pekerja asing dengan kos yang murah di Malaysia dan kemerosotan bilangan pekerja asing mahir antara 2000 hingga 2007.

Ia juga menjelaskan, perbezaan besar upah antara Malaysia dan negara asal tenaga buruh memberi keuntungan besar kepada agensi pengambilan tenaga kerja dan mewujudkan pelbagai bentuk penderaan, termasuk ejen menawarkan peluang kerja yang tidak wujud kepada pekerja asing.

Kos untuk mendapatkan khidmat pekerja asing adalah rendah kerana mereka tidak tertakluk dengan piawaian tenaga kerja yang sama dengan rakyat Malaysia dan tidak mempunyai akses perkhidmatan sosial seperti kesihatan yang kosnya ditanggung oleh kerajaan.



0 ulasan

bharian: EU, tiga IPT tempatan jalin kerjasama

(Sumber dari Berita Harian, 2010/03/31)
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi melancarkan projek ‘MYEULINK’ membabitkan kerjasama antara Kesatuan Eropah (EU) dengan tiga universiti tempatan untuk menghasilkan pekerja berkemahiran tinggi yang diperlukan oleh industri.

Bagi menjayakan projek itu, EU menawarkan dana RM2.5 juta (575,000 euro) untuk ketiga-tiga universiti terbabit, iaitu Universiti Malaya dalam bidang undang-undang dan politik, Universiti Putra Malaysia (perniagaan dan ekonomi) dan Universiti Malaysia Sabah (sejarah dan media).



Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata program kerjasama itu memberi penekanan kepada pengetahuan dan kefahaman mengenai EU dalam konteks kerajaan, swasta, media, badan bukan kerajaan dan ahli akademik serta pihak berkepentingan dalam memperkasakan hubungan antara Malaysia-EU.

“Projek itu juga bertujuan memperkasakan hubungan dan dialog Malaysia dan EU dalam bidang pengajian tinggi,” katanya selepas melancarkan program kerjasama itu di sini, semalam.

Hadir sama, Duta Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia, Vincent Piket.
Mohamed Khaled berkata, selain IPTA program kerjasama itu juga akan membabitkan University of Nottingham, Kampus Malaysia yang akan bertindak sebagai sekretariat untuk melapor dan mengawal kewangan dana berkenaan.

Selain itu, sebuah lagi universiti dari Eropah, University of Maastrich (MAA) akan berperanan menyediakan tenaga pengajar dalam bidang perniagaan, media dan sejarah.
Beliau berkata, kerjasama juga akan turut membabitkan tiga lagi institusi tempatan iaitu Institut Strategik dan Kajian Antarabangsa (Isis) Malaysia , Petronas dan Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara (IPPTN).

0 ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...